KUALA LUMPUR – ‘Saya terkejut’, itu respons Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berhubung insiden dua remaja perempuan ditampar oleh jurulatih mereka baru-baru ini.
Menurut Nancy, insiden itu tidak dapat dihadam beliau kerana melibatkan dua atlet remaja perempuan.
“Saya terkejut melihat video yang tular semalam. Keganasan terutamanya terhadap wanita dan kanak-kanak perlu dihentikan dengan serta merta,” tegas beliau hari ini.
Kenyataan Nancy itu ekoran penularan video seorang jurulatih bola tampar yang dilihat menampar dua atlet remaja perempuan.
Terdahulu, kecoh di sosial media apabila tular satu rakaman video insiden dalam Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 (B-14) Malaysia 2022 di Johor pada 16 Disember lalu.
Dalam kejadian itu, dua atlet remaja perempuan dilihat ditampar oleh seorang lelaki dipercayai jurulatih mereka dari pasukan Melaka.
Insiden itu berlaku ketika pasukan Melaka ketinggalan di belakang pasukan Johor dengan lima mata.
Kejohanan bola tampar itu diadakan di SJK (C) Pei Hwa, Johor. – MalaysiaGazette