Kristalina Georgieva. Foto Twitter

NEW YORK – Satu pertiga daripada ekonomi global akan mengalami kemelesetan tahun ini, kata Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva.

Menurutnya, tahun 2023 akan menjadi “lebih sukar” berbanding tahun lepas kerana ekonomi Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan China perlahan.

Ia berlaku ketika perang di Ukraine, kenaikan harga, kadar faedah yang lebih tinggi dan penyebaran Covid-19 di China yang menyumbang beban ekonomi global.

Pada bulan Oktober IMF mengurangkan prospek pertumbuhan ekonomi globalnya untuk 2023.

“Kami menjangkakan satu pertiga daripada ekonomi dunia akan mengalami kemelesetan,” kata Georgieva dalam program berita CBS Face the Nation.

Katanya, walaupun ada negara yang tidak mengalami kemelesetan tetapi akan terasa kesannya.

IMF mengurangkan unjuran pertumbuhan ekonomi global pada 2023 pada Oktober, disebabkan perang di Ukraine serta kadar faedah yang lebih tinggi apabila bank pusat di seluruh dunia cuba mengekang kenaikan harga.

Sejak itu China telah membatalkan dasar sifar-Covid dan mula membuka semula ekonominya, walaupun jangkitan koronavirus telah merebak dengan cepat di negara itu.

Georgieva turut memberi amaran bahawa China, ekonomi kedua terbesar di dunia, akan menghadapi permulaan yang sukar untuk 2023.

“Untuk beberapa bulan akan datang, ia akan menjadi sukar bagi China, dan kesan ke atas pertumbuhan China akan menjadi negatif, kesan ke atas rantau ini akan menjadi negatif, kesan ke atas pertumbuhan global akan menjadi negatif,” katanya. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast