KUALA LUMPUR – Doktor bedah kelahiran Malaysia di London, Dr Nur Amalina Che Bakri telah menghantar surat saman ke atas media di Malaysia berkaitan isu sunat terhadap bayi perempuannya.
Menurut Nur Amalina, media terbabit telah mengguna tajuk berbentuk “clickbait” dan memutarbelitkan mesej beliau berkenaan sunat bayi perempuan.
Katanya, pelaporan media itu telah mengakibatkan pelbagai komen lucah dan jelik di media sosial terhadap anaknya.
“Peguam saya telahpun mengemukakan surat saman terhadap tabloid-tabloid ini pada hari ini.
“Saya tidak berniat sama sekali menyekat kebebasan media, tetapi dalam hal ini tabloid-tabloid ini bagi saya telah melangkaui batas dan ini tidak boleh berterusan,” katanya dalam ciapan di Twitter.
Amalina bagaimanapun tidak menamakan media yang disaman beliau dalam hantaran itu.
Menurut Nur Amalina, pihak media perlu menyiarkan berita secara tepat dan beretika.
Surat saman yang disampaikan itu hanya memohon agar tabloid terbabit menurunkan artikel yang ditulis.
Selain itu media berkenaan diarahkan tidak lagi memaparkan berita berbentuk sensasi terhadap beliau pada masa hadapan dan perlu memohon maaf secara terbuka dalam tempoh tujuh hari.
“Saya tidak menuntut sebarang wang ringgit kerana ini bukan tujuan saya. Saya juga tidak ingin kes ini berlanjutan ke mahkamah jika pihak-pihak boleh memberikan kerjasama.
“Saya juga akan selepas ini mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menulis komen berbentuk lucah dan jelik di FB,” katanya.
Beliau berharap tindakan itu akan menjadi pengajaran kepada media supaya lebih berhati-hati semasa menulis artikel.
Ia juga akan menjadi pengajaran kepada orang ramai apabila menulis komen terutama sekali apabila melibatkan bayi atau kanak-kanak di bawah umur.
Sebelum ini tular di media sosial kenyataan Nur Amalina mengenai isu sunat bayi perempuan di United Kingdom (UK).
Menerusi ruangan ‘Ask Me A Question’ di Insta Story miliknya, seorang individu telah bertanya mengenai sunat bayi perempuan di UK.
Menjawab soalan tersebut, Amalina berkata, amalan menyunatkan anak perempuan adalah dilarang dan melangggar undang-undang di negara tersebut.
Susulan jawapan yang diberikannya itu, sesetengah media menjadikan ia sebagai artikel untuk dikongsikan buat rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, artikel yang turut dimuat naik di laman Facebook (FB) itu menerima pelbagai komen-komen berbaur lucah dari individu tidak bertanggungjawab.-MalaysiaGazette