Pistol antara yang dirampas dalam milikan dua lelaki tempatan terlibat kes samun bersenjata membabitkan kedai serbaneka di Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Sekurang-kurangnya enam kes samun bersenjata api di kedai serbaneka di negeri ini berjaya diselesaikan selepas polis menahan dua lelaki di Bukit Mertajam pada Ahad lalu.

Hasil risikan polis membawa kepada tangkapan berasingan dua lelaki tempatan berusia 26 dan 30 tahun di tepi jalan di Jalan Berjaya dan Taman Desa Damai kira-kira jam 12 tengah malam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, penahanan suspek dibuat oleh satu pasukan siasatan khas yang ditubuhkan selepas polis menerima laporan kes samun membabitkan senjata api di sebuah kedai serbaneka di Jalan Betik, Bukit Mertajam pada 9 Disember lalu.

Jelas beliau, polis turut merampas sepucuk pistol jenis Revolver .38 bersama dua kelongsong dengan tiga butir peluru dirampas ketika penahanan suspek.

“Kita tidak pasti sama ada mereka mahu lakukan apa-apa samun pada malam itu.

Motosikal turut dirampas dalam serbuan itu.

“Kemungkinan ya (mahu menyamun) kerana kita jumpa senjata bersama salah seorang suspek, tapi kita tidak dapat pastikan (mengenainya).

“Selain pistol dan peluru, kita turut merampas dua buah motosikal iaitu jenis Yamaha 125Z dan SYM, kereta jenis Proton Iswara, topi keledar dan beberapa barangan lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, hari ini.

Tambah Mohd Shuhaily, suspek dipercayai menyasarkan kedai-kedai serbaneka yang beroperasi hingga lewat malam dengan melarikan hasil jualan dan telefon bimbit.

“Kita percaya dengan penahanan dua suspek ini berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya enam kes samun bersenjata api dalam tempoh sebulan sepanjang Disember lalu,” kata beliau.

“Kedua-dua suspek yang memiliki rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah itu direman selama enam hari sehingga Jumaat depan bagi siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette