Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bercakap pada sidang media mengenai Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang akan diadakan pada 11-14 Januari 2023 di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 03 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO boleh membawa isu pemilihan parti pada mesyuarat bulanan yang akan dibuat pada malam Khamis depan.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan enggan memperincikan sama ada pertandingan mengenai jawatan nombor satu dan nombor dua parti akan diputuskan dalam mesyuarat yang sama.

“Pemilihan juga belum dibincangkan dan boleh dibincangkan pada 5 Januari tentang pemilihan dan kita ada mesyuarat khas MKT pada 12 Januari,” katanya dalam sidang media sempena Perhimpunan Agung UMN0 (PAU2023) di sini hari ini.

Ahmad menjawab pertanyaan media mengenai samada akan berlaku pertandingan jawatan-jawatan itu pada Pemilihan UMNO kali ini.

Untuk rekod, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) bersetuju kepada pindaan Perlembagaan UMNO supaya pemilihan UMNO di semua peringkat diadakan tidak melebihi enam bulan selepas sesuatu Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.

Ditanya mengenai jemputan PAU2023 kepada mana-mana parti gabungan termasuk parti dalam Kerajaan Perpaduan, Ahmad berkata, perkara itu akan turut diputuskan dalam mesyuarat yang sama.

“Kita akan buat keputusan dalam mesyuarat bulanan MKT pada 5 Januari dan kita akan bincangkan pada 5 Januari mesyuarat bulanan MKT UMNO pada Januari bilangan 1/2023. Pada malam ini akan ada mesyuarat pengurusan yang akan dipengerusikan Timbalan Presiden UMNO.

“UMNO juga akan bincang mengenai jemputan PAU2022 kepada parti dalam Kerajaan Perpaduan antaranya dan tunggu keputusan malam itu,” katanya.

PAU2022 akan mengambil tempat 11 hingga 14 Januari depan bertempat di WTC.

Seramai 2,648 perwakilan UMNO seluruh negara dan 174 pemerhati ketua penerangan bahagian akan hadir dalam perhimpunan kali ini.

Antara lain PAU2022 akan hanya membahasakan satu usul sahaja kali ini iaitu usul ucapan Dasar Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang akan dibuat pada 13 Januari depan.

Jelas Ahmad, ia disebabkan kekangan masa di mana PAU2022 hanya dibuat selama dua hari berbanding tiga hari biasa dan terdapat kekurangan bilangan menteri yang biasanya akan menyampaikan usul terus kepada perwakilan.

“Sebagai contoh, isu kos sara hidup akan menjadi topik hangat tetapi menteri yang bertanggungjawab sekarang bukan daripada UMNO,” katanya lagi. – MalaysiaGazette