Lim Guan Eng.- Foto MOHD ADZLAN, 20 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menggesa Pengerusi DAP, Lim Guan Eng memperincikan siapakan golongan ekstremis yang dimaksudkannya.

Ketua Penerangannya, Shahrulufti Sharif menegaskan, setahunya puak ekstremis adalah golongan yang selalu mempersoal dan mendesak agar dasar nasional yang terikat dengan asas Perlembagaan dipinda atas nama  reformasi, hak asasi atau demokrasi.

“Tiba-tiba saja Guan Eng ajak rakyat supaya bersatu untuk mengalahkan puak ekstremis yang ingin melihat rakyat di negara ini saling bertelingkah.

“Siapakah puak ekstremis yang anda maksudkan? Bila bercakap, biar jelas dan nyatakan pihak mana, puak mana, individu mana, NGO mana atau parti mana?” tanyanya menerusi kenyataannya, hari ini.

Shahrulufti Sharif

Menerusi ciapan di Twitternya, Guan Eng dilaporkan mengajak rakyat bersatu mengalahkan puak ekstremis yang ingin memecahbelahkan agar menumpukan perhatian kepada masalah ekonomi negara dan menghapuskan amalan rasuah.

“Hanya bila kita teguh bersama barulah Malaysia akan maju bersama dan Kerajaan Perpaduan yang berada di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong akan terus memberi fokus kepada ekonomi,” kata bekas Setiausaha Agung DAP itu.

Menurut Shahrulufti, apakah NGO Dong Zong yang menuntut diiktiraf Sijil UEC walaupun bertentangan dengan Dasar Pelajaran Kebangsaan termasuk mempersoalkan hak kaum bumiputera yang terjamin dalam perlembagaan yang dimaksudkan puak ekstremis?

Katanya, pelbagai kereneh dilakukan pihak berkenaan seperti mendesak SOSMA dipinda kononnya mereka yang ditahan bawah akta itu adalah ektremis.

“Kalau betul Guan Eng ikhlas menentang extremis, mereka sepatutnya mendesak kerajaan kekalkan Akta SOSMA seperti asal dan kembalikan Akta ISA untuk polis dapat bertindak dengan cepat serta berkesan terhadap golongan itu.

“Persoalan untuk Guan Eng ialah apakah beliau sedar tanggungjawab orang Islam dari segi akidah seperti menentang judi dan mendesak judi diharamkan juga disifatkan ekstremis?

“Bagi umat Islam, perjuangan menegakkan hukum Allah berpaksikan penghayatan amal makruf nahi mungkar dan boleh dituduh sebagai ekstremis. Apakah perjuangan Malaysian Malaysia bukan ektremis?” soalnya.

Beliau mahu Ahli Parlimen Bagan itu belajar memahami ajaran dan akidah orang Islam kerana jika orang Islam menyentuh ajaran agama lain sudah pasti Guan Eng melenting.

“Persepsi selalunya orang Islam yang mahu hukum agama ditegakkan dituduh ektremis dan orang Melayu yang mempertahankan hak bumiputera pula dituduh rasis.

“Manakala pihak lain yang jelas jahat dikatakan tidak rasis dan ektremis. Hello! sedarlah sikit. Jangan pandai mahu berkokok sebelah pihak sahaja.

“Putra tegas dengan pendirian apa sahaja yang patut dihayati iaitu mendokong dan mendaulat Asas Perlembagaan Negara, Rule of Law dan Rukun Negara,” katanya.

Kata beliau, kebebasan demokrasi tidak boleh dibiarkan sehingga nyawa rakyat terancam dan negara musnah serta penghayatan hak asasi manusia boleh diterima selagimana tidak bertentangan dengan ajaran syariat Islam dan tidak bertentangan dengan nilai moral serta budaya masyarakat setempat.

Ujarnya lagi, jika betul mahu ekstremis dan rasis dibendung dengan berkesan, berilah sokongan agar Akta SOSMA tanpa pindaan dikekalkan serta Akta ISA dikembalikan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Dalam sejarah mereka yang berfahaman, berideologi komunis yang menentang hak2 perlembagaan negara lah pihak ektrimis. Mereka2 yang tidak mahu mengikut arus perdana dan mahu membina negara didalam negara!

Comments are closed.