GEORGE TOWN – Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor merakamkan ucapan syabas kepada Kerajaan Negeri Kedah atas pendirian tegas menutup premis judi dan loteri di negeri berkenaan.
Wan Salim berkata, pengharaman judi ke atas orang Islam sememangnya dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran bersama pengharaman minuman arak menerusi surah al-Maidah ayat 90-91.
Bagaimanapun, katanya, situasi di Pulau Pinang agak berbeza dengan Kedah yang mana masyarakat bukan Islam mewakili kira-kira separuh penduduknya.
Namun, beliau berpendapat pihak berkuasa boleh membenarkan premis judi terus beroperasi tetapi hendaklah dihadkan kepada masyarakat bukan Islam sahaja.
“Orang Islam mesti dilarang mengunjungi premis itu dengan peraturan yang ketat dan tegas. Saya cadangkan pihak berkuasa agama Islam dengan bantuan pihak polis memantau premis itu dengan konsisten. Jika ada mana-mana orang Islam yang didapati terbabit dengan kegiatan judi atau loteri maka hendaklah dikenakan hukuman keras.
“Selain itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) perlu meningkatkan lagi kempen bagi membanteras amalan berjudi dalam segala rupa bentuknya serta sentiasa mengingatkan masyarakat Islam supaya tidak terbabit dalam amalan haram ini.
“Peringatan juga boleh dibuat menerusi khutbah Jumaat dan program ceramah dan kuliah di masjid dan surau di negeri ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam perkembangan sama, Wan Salim berkata, terdapat dua perkara berkaitan yang perlu diberi perhatian dalam isu berkenaan iaitu pertama mengenai hukum Islam hanya mengikat umat Islam.
Katanya, orang bukan Islam tidak boleh dipaksa mengikut hukum Islam dan ia termasuk mematuhi larangan berjudi dan minum arak.
“Kedua ialah membanteras sesuatu perbuatan mungkar perlu dilaksanakan secara berhikmah bagi mengelak reaksi yang mungkin menyebabkan suasana menjadi kucar kacir dalam kalangan mereka yang tidak memahami sebab larangan berkenaan, iaitu bukan sahaja orang Islam, tetapi juga bukan Islam,” katanya.
Media tempatan sebelum inimelaporkan, semua operasi premis perjudian dan loteri di Kedah ditamatkan sepenuhnya berkuatkuasa 1 Januari lalu, apabila kerajaan negeri membuat keputusan tidak lagi memperbaharui lesen perjudian berkenaan. – MalaysiaGazette