Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas bagi memastikan kepentingan negara terjamin khususnya melindungi nyawa rakyat daripada gelombang Covid-19.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, SOP tersebut mestilah bersifat mencegah agar penularan varian baharu Covid-19 dapat dibendung dengan berkesan.

“Ianya haruslah adil kepada semua pihak bagi memelihara kelangsungan kehidupan rakyat, terutama mereka yang terlibat dalam industri pelancongan dan perniagaan.

“SOP tersebut juga mestilah mempunyai perincian mampu memantau serta menjejaki pengembara yang berada dalam negara dan mengambil kira keupayaan sistem kesihatan awam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan China akan membuka semula sempadannya pada 8 Januari ini selepas hampir tiga tahun ditutup berikutan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun timbul kebimbangan apabila berlaku lonjakan ketara kes Covid-19 di negara itu, baru-baru ini.

Akhir tahun lalu, pihak berkuasa kesihatan Itali memulakan ujian saringan Covid-19 terhadap semua pelancong tiba dari China, selepas hampir separuh daripada penumpang dua pesawat yang mendarat di Milan positif wabak itu.

Kementerian Kesihatan negara itu turut dilapor melakukan ujian penjujukan untuk mengesan sama ada terdapat varian baharu.

Dalam pada itu, kerajaan sewajarnya mengaktifkan semua agensi berkaitan dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Kerajaan wajar dengan segera mengaktifkan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Ia memastikan semua jabatan dan agensi kerajaan bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah mendedahkan sehingga 31 Disember 2022, sebanyak 4,152 kes varian BA.5.2 dan 3 kes varian BF.7 direkodkan di seluruh negara. – MalaysiaGazette