KUANTAN – Lima individu mengalami kerugian sebanyak RM617,051 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan atas talian.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dalam kejadian berasingan itu, kesemua mangsa membabitkan modus operandi sama dalam masa tiga hari.
Kes pertama membabitkan seorang guru lelaki berbangsa Punjabi berumur 37 tahun telah menerima pesanan melalui WhatApps dari pihak tidak dikenali menawarkan kerja sambilan sebagai penulis ulasan mengenai tempat menarik.
“Mangsa ditawarkan wang sebanyak RM8 untuk setiap ulasan yang diberikan dengan cara mangsa perlu menghantar gambar screenshot tulisan ulasan yang diberikan kepadanya ke akaun Telegram.
“Setelah selesai tugas menulis lima ulasan tentang lokasi diterima mangsa diminta untuk membuat tugas baru iaitu pembelian bitcoin dari suspek dan suspek menjanjikan bayaran komisen,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ramli berkata, kemudian mangsa telah memasukkan wang melalui 131 transaksi ke dalam akaun bank yang berbeza yang diberikan oleh suspek kepadanya sehinggalah mengalami berapa kerugian RM139,364.
Dalam kejadian lain, mangsa seorang wanita Cina berumur 38 tahun yang bekerja sebagai penjual haiwan peliharaan telah dipelawa oleh rakan kenalan Facebook untuk menceburi pelaburan saham bernama Crypto Market CICC yang menawarkan keuntungan 28.4 peratus dalam mata wang Amerika Syarikat.
Mangsa telah membuat pindahan wang sebanyak 15 transaksi ke dalam nombor pemilik akaun bank yang berlainan oleh suspek namun menyedari dirinya telah ditipu sehingga kerugian RM154,367.
Manakala kes ketiga pula membabitkan seorang pemandu lori berusia 58 tahun menerima panggilan telefon oleh ‘pegawai polis’ dari pulau Pinang yang memaklumkan mangsa mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah dan kesemua akaun banknya akan dibekukan.
Pengadu kemudian diminta berurusan dengan seorang ‘pegawai Bank Negara’ dan diminta mengisikan maklumat dalam pautan yang dihantar kepadanya.
Lima transaksi pemindahan wang telah dibuat oleh mangsa danmelibatkan kerugian sebanyak RM127,800.
Seterusnya mangsa seorang kontraktor lelaki Melayu berumur 58 tahun yang terpedaya dengan skim pelaburan emas di Papua, Indonesia dan akhirnya kerugian sebanyak RM60,000.
Kes kelima semalam membabitkan seorang wanita berumur 29 tahun merupakan seorang pembantu khidmat pelanggan telah menerima panggilan telefon daripada wakil kononnya dari syarikat penghantaran yang mengatakan mangsa ada satu bungkusan miliknya untuk di hantar ke Miri, Sarawak.
Mangsa dikatakan terlibat dalam kes pemerdagangan manusia dan pengubahan wang haram dan akhirnya mengalami kerugian sebanyak RM135,520. – MalaysiaGazette