Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali hadir ke mahkamah bagi pendengaran bantahan kes membela diri atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 04 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan penangguhan perbicaraan selama dua hari bagi kes penderaan kanak-kanak yang dihadapi pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.

Prosiding bela diri sepatutnya bermula hari ini.

Pada prosiding hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan penangguhan sementara permohonan Siti Bainun untuk menyemak semula pertuduhan.

“Keputusan semakan pertuduhan dan bantahan pihak pendakwaan terhadap semakan itu akan saya putuskan pada 13 Januari ini,” katanya hari ini.

Pada prosiding, peguam mewakili Siti Bainun, P G Cyril memberitahu mahkamah bahawa seseorang hakim mempunyai budi bicara untuk menerima semakan itu atau sebaliknya dan pihaknya bergantung kepada hujahan bertulis yang difailkan berhubung alasan permohonan.

Pembelaan juga memberitahu pihaknya perlu memaklumkan perkembangan kes di Mahkamah Sesyen hari ini kerana bicara bela diri bermula esok.

“Sebab itu kami mohon ia digantung sementara,” kata P G Cyril.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad membantah penangguhan itu mengikut afidavit jawapan difailkan sebelum ini dan salinan hujahan bertulis yang sudah diserahkan kepada pihak berkaitan.

Susulan itu, Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi pada sebutan kes ketika membuat keputusan untuk melapangkan prosiding bela diri oleh Siti Bainun pada tarikh yang dijadualkan.

Beliau juga menetapkan 13 Januari untuk pihak pendakwaan dan pembelaan memaklumkan Mahkamah Sesyen mengenai perkembangan perkara itu.

“Semua pihak juga perlu memaklumkan kepada mahkamah mengenai lima isu, termasuk panggil semula saksi pendakwaan, panggil saksi lain yang ditawarkan oleh pendakwaan kepada pembelaan dan pernyataan saksi Siti Bainun,” katanya.

Pada 9 Disember lalu, Mahkamah Sesyen menetapkan tarikh perbicaraan bela diri Siti Bainun selama 25 hari iaitu 5, 6, 16 hingga 20, 26 dan 27 Januari, diikuti 20 hingga 24, 27 dan 28 Februari dan 6 hingga 10 serta 27 hingga 30 Mac.

Dalam notis usul difailkan 30 November lalu yang menamakan pendakwa raya selaku responden, Siti Bainun memohon menyemak dua pertuduhan kerana mendakwa hakim Mahkamah Sesyen tidak mempertimbangkan pertuduhan disifatkan defektif atau cacat dan prejudis ketika memerintahkannya membela diri.

Pengasas Rumah Bonda itu juga mendakwa perintah hakim itu untuk memanggilnya membela diri pada 24 November lalu adalah batal dan tidak sah kerana gagal menilai kecacatan pertuduhan dalam penghakiman yang dibacakan di mahkamah terbuka pada hari berkenaan.

Siti Bainun diarah membela diri terhadap pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella di sebuah kondominium di Wangsa Maju, di sini, antara Februari hingga Jun 2021 dan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Jika sakit kesalahan, tertuduh akan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 28 Oktober lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 22 saksi pada perbicaraan yang bermula 30 Mac 2022. – MalaysiaGazette