KUALA LUMPUR – Mudarat besar dikhuatiri akan menimpa UMNO sekiranya dua jawatan tertinggi dalam parti tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti tahun ini.
Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Yusof Ismail berkata, bukan sahaja ahli-ahli parti sahaja hilang kepercayaan malah rakyat juga akan ‘memalingkan muka’.
“Mana kita lagi sanggup tengok? UMNO kekal dihormati ahlinya sendiri walaupun segelintir akan menyalak kerana hilang kuasa atau UMNO dikuburkan rakyat buat selama-lamanya?” soalnya dalam hantaran Facebook hari ini.
Usul berhubung cadangan agar dua jawatan tertinggi UMNO iaitu presiden dan timbalannya tidak dipertandingkan dijangka akan dibentangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2022 mulai 11 hingga 14 Januari ini.
Beliau turut menempelak pihak tertentu yang menggunakan alasan mahu menjaga kestabilan parti menjelang pilihan raya negeri (PRN) di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu bagi menyokong cadangan tersebut.
Yusof memberitahu, alasan yang sama telah digunakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kononnya untuk memastikan parti kuat dan menang.
“Menang apanya? Kalah teruk lagi ada. Paling teruk dalam sejarah. 26 kerusi sahaja berbanding 54 kerusi pada PRU-14,” jelasnya.
Beliau menambah, situasi adalah lebih baik bagi UMNO sebelum PRU-15 di mana parti itu mengetuai kerajaan dan pemimpinnya menjadi perdana menteri.
“Sekarang nak sekat demokrasi dengan alasan kestabilan lagi?” soalnya. – MalaysiaGazette
tudia anak didik H2O. hahahaha