Zahid pertandingan
Rizalman Mokhtar

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempunyai peluang yang baik untuk membuktikan beliau mempunyai keabsahan dan sokongan majoriti akar umbi untuk terus menerajui parti sekiranya jawatan Presiden UMNO dibuka untuk dipertandingkan  tahun ini.

Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar berkata, sekiranya beliau menang, Ahmad Zahid seterusnya boleh terus melakukan program tranformasi parti dengan mandat yang jelas dan berwibawa daripada akar umbi.

“Beliau akan menjadi Presiden yang telah teruji dan lulus semua ujian dengan cemerlang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Usul berhubung cadangan agar dua jawatan tertinggi UMNO iaitu Presiden dan timbalannya tidak dipertandingkan dijangka akan dibentangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2022 pada 11 hingga 14 Januari ini.

Beliau berpandangan, UMNO seharusnya kembali kepada peraturan dan perlembagaan parti yang telah disusun dengan baik berkaitan kaedah dan tempoh untuk pemilihan pelbagai jawatan semua peringkat.

Tambah Rizalman, sebarang sekatan atau halangan untuk bertanding terutamanya jawatan tertinggi parti hanya akan menafikan suara dan kemahuan perwakilan akar umbi dalam membuat keputusan memilih pemimpin yang dirasakan mampu untuk memulihkan imej UMNO di mata rakyat.

“Membenarkan jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan bukan bermakna sudah ada pemimpin yang akan mencabar kedua-dua pemegang jawatan sedia ada.

“Mungkin juga tiada yang ingin mencabar presiden dan timbalan presiden dan ia hanya bersifat spekulasi,” jelasnya.

Beliau berkata, akar umbi wajar diberi peluang untuk menentukan siapa yang layak memimpin parti.

“Secara peribadi saya yakin ahli akar umbi sangat matang dalam membuat keputusan dan akan meletakkan kepentingan parti mengatasi kemahuan individu,” katanya.

Pada masa yang sama, Rizalman bersikap terbuka untuk dicabar oleh sesiapa yang ingin bertanding jawatan yang disandangnya.

“Ini merupakan demokrasi yang dibenarkan dan semua pihak perlu menghormati proses ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast