Tan Sri Mohd Yussof Latiff

GEORGE TOWN – Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) menggesa kerajaan menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan mengenai pelancong asing yang tidak pulang ke negara asal serta penjualan kad pengenalan (MyKad).

Presidennya, Tan Sri Mohd Yussof Latiff  berkata, ia susulan wujud kes penjualan MyKad kepada warga China dengan kos RM400,000 oleh JPN Pulau Pinang yang menggemparkan negara pada 2019.

Jelas beliau, selain itu, data JPN juga menunjukkan lebih 1.3 juta MyKad dilaporkan hilang akibat kecuaian dalam tempoh 2015 hingga 2019 yang dikhuatiri dijual kepada warga asing serta pendatang tanpa izin.

“Berdasarkan data Jabatan Imigresen pula, antara 2012 hingga 2016 seramai 141,000 pelancong dari China dan India tidak mempunyai rekod kembali ke negara mereka dan ini secara langsung menjadi pertikaian di mana keberadaan mereka kini.

“Saya tidak menolak kemungkinan mereka berada dalam negara dengan cubaan untuk mendapat pelbagai dokumen antaranya Mykad memandangkan MyKad boleh dijual oleh pengkhianat negara tanpa memikirkan kesannya kepada kedaulatan negara.

“Mungkin ada parti politik yang secara tidak langsung bersekongkol dalam hal ini dan isu perkauman memang tidak dinafikan dalam hal ini,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Yussof menggesa kerajaan bertindak agar isu-isu yang diketengahkan tidak menjadi barah buat negara.

“Kerajaan perlu segera mengatasi masalah ini, jika tidak Malaysia akan dilanda masalah geopolitik dan ekonomi yang dahsyat.

“Sabotaj ekonomi juga boleh terjadi begitu juga dengan perisik asing akan memasuki agensi-agensi penting kerajaan seperti polis dan tentera sekali gus pertahanan negara mudah ditembusi atau dirosakkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.