Jegan (depan) menunjukkan lori tangki yang digunakan bagi aktiviti penyeludupan diesel dirampas pihaknya di Stor Penyimpanan Eksibit KPDN Bukit Minyak, Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Pemandu dan kelindan sebuah lori tangki diberkas selepas didapati terlibat dalam aktiviti penyeludupan minyak diesel di negeri ini, semalam.

Tangkapan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota daripada Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang selepas mendapati sebuah lori tangki seberat 6.5 tan tanpa muatan dalam keadaan mencurigakan sedang mengisi diesel di sebuah stesen minyak di Jalan Kulim, di sini.

Pengarahnya, S. Jegan berkata, serbuan jam 4 petang itu dilakukan hasil pemantauan dan pemeriksaan harian yang dijalankan pihaknya sebelum ini.

Jelas beliau, hasil pemeriksaan mendapati, lori itu mempunyai satu unit tangki besi berkapasiti 10,800 liter di bahagian belakang dan satu unit tangki berkapasiti 800 liter di sebelah tepi yang digunakan untuk mengisi diesel dari beberapa stesen minyak bagi mengelak kegiatan mereka dikesan.

Jegan.

“Hasil siasatan mendapati lori berkenaan disewa pemandu dan kelindan berusia 30dan 40-an itu selain hos pamnya diubah suai bagi tujuan penyeludupan diesel.

“Dalam serbuan sama,KPDN turut merampas 1,800 liter diesel yang ditemui  dalam kedua-dua tangki tersebut.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk lori, motor pam, hos, telefon bimbit, walkie talkie dan wang tunai berjumlah RM35,719,” katanya kepada pemberita di stor penyimpanan Eksibit KPDN di Bukit Minyak, hari ini.

Mengulas mengenai modus operandi suspek, Jegan berkata, dua lelaki terbabit dikatakan menerima upah sehingga RM300 sehari bagi kegiatan penyeludupan itu.

“Mereka mengaku aktif dalam kegiatan ini sejak dua bulan lalu dan sering menukar kenderaan bagi elak dikesan pihak berkuasa.

“Kedua-dua tangkapan kini turut direman untuk siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” ujar beliau. – MalaysiaGazette