Norzaimeen Ab. Kadir

KUALA LUMPUR – Parti Berjasa (Berjasa) menyambut baik ketegasan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) melarang pemakaian bikini di kawasan pantai Pulau Besar negeri itu.

Naib Ketua Wanita 1 parti itu, Datin Norzaimeen Ab. Kadir berkata, larangan itu seharusnya dicontohi dan dikuatkuasakan di negeri lain.

“Tahniah kepada Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat atas pendirian dan ketegasannya berhubung isu pemakaian bikini di kawasan pantai Pulau Besar.

“Bukan sahaja kerana Pulau Besar mempunyai sejarah Islamnya yang perlu dihormati, tetapi cara pandangan dan ketegasan JAIM ini mesti diguna pakai di seluruh negara.

“Ini sebagai menghormati Perlembagaan Persekutuan yang secara jelas menyatakan Islam adalah agama persekutuan, agama negara Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahad lalu, Che Sukri menegaskan, ini adalah yang pertama dan terakhir, jangan ulangi lagi memakai pakaian mencolok mata dan pihaknya tidak akan berkompromi.

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai mencemar imej dan kesucian Pulau Besar dan JAIM memandang serius isu berkenaan.

Menurut Norzaimeen, apa yang berlaku di Qatar pada kejohanan  bola sepak Piala Dunia 2022 masih segar diingatan.

Katanya, negara itu berdiri teguh dengan pendiriannya mengikut peraturan sendiri walau dikecam berapa negara yang tidak setuju, namun mendapat sokongan dan penghormatan dari negara lain.

“Maka, Kita mesti belajar dan mencontohi Qatar.

“Negara ini negara kita, perlembagaan kita, peraturan-peraturan kita, maka negara dan rakyat pengunjung lain mesti menghormati kita di tanah kita sendiri.

“Toleransi kita terhadap hak, ada batasnya. Mereka boleh berkunjung, mandi dan berkelah, tetapi ada peraturan yang mesti dipatuhi. Apabila berlaku rasa hormat menghormati ini, barulah boleh kita capai keharmonian,” ujarnya.

Oleh itu, katanya, orang Islam sepatutnya atas prinsip mempertahankan perlembagaan negara, manakala orang bukan Islam, termasuk pelancong dan lain-lain mesti menghormati peraturan negara ini. – MalaysiaGazette