Penduduk, Hasnah Hasan menunjukkan keadaan rumahnya yang dinaiki air banjir tahun lepas ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Seberang Guai, Bera, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 05 NOVEMBER 2022.

BENCANA banjir di Malaysia boleh diibaratkan sebagai ‘acara’ tahunan yang perlu dihadapi oleh sebahagian besar rakyat di Malaysia setiap tahun semasa musim tengkujuh. Setiap kali bencana alam tersebut berlaku, sebahagian besar mangsa yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat pasti menghadapi kesusahan serta kerugian yang amat membebankan bagi mereka untuk meneruskan kehidupan pasca banjir. Merujuk kepada Laporan Khas Impak Banjir Malaysia 2021 (laporan yang julung kali disediakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia), kerugian disebabkan oleh impak banjir di Malaysia pada tahun 2021 sahaja telah mencatatkan nilai keseluruhan sebanyak RM6.1 bilion.

Usaha bagi menghalang nilai kerugian ini daripada terus meningkat perlu dilaksanakan kerana implikasi daripadanya akan mendatangkan kerugian kepada negara termasuk sektor ekonomi kerana antara penyumbang terbesar kepada nilai kerugian tersebut termasuklah aset awam, infrastruktur, sektor pembuatan serta premis perniagaan.
Fenomena banjir ini hampir tidak dapat dielakkan kerana amat berkait rapat dengan kitaran fenomena alam. Antara punca yang menjadi faktor berlakunya bencana tersebut ialah lokasi geografi Malaysia itu sendiri kerana banjir yang berlaku adalah hasil semula jadi disebabkan oleh Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh tersebut serta musim hujan tropika yang mengalami hujan lebat berterusan dan kerap sekitar Oktober hingga Mac.

Selain itu, sistem perparitan yang tidak mencukupi dan berfungsi dengan baik di kebanyakan kawasan bandar atau luar bandar juga turut memburukkan lagi keadaan ini apabila pengaliran air yang bertakung atau tertahan tidak dapat disalurkan dengan baik sehingga boleh mengakibatkan banjir kilat apabila hujan turun terlampau lebat.
Namun, apa yang kurang diberikan perhatian adalah sebenarnya impak yang diakibatkan oleh bencana alam ini boleh diminimakan dengan memanfaatkan pengaplikasian
ilmu falak yang efektif dan tepat. Ilmu falak atau juga disebut sebagai ilmu astronomi merupakan satu ilmu saintifik yang berasaskan data-data empirikal dan logik dengan
menggunakan kaedah matematik serta dibantu dengan radas cerapan seperti teleskop.

Ilmu falak dalam ruang lingkup pengetahuan segelintir masyarakat hanya berkaitan dengan detik melihat anak bulan untuk mengesahkan kedatangan Ramadan dan Syawal sahaja. Walhal, peranan ilmu falak sebenarnya begitu luas kerana ia menyediakan alamat, petanda serta ramalan bagi menghadapi fenomena alam yang sentiasa berubah-ubah berdasarkan fakta-fakta yang tepat. Menurut Hanafiah Abdul Razak, Pegawai Falak di Jabatan Mufti Negeri Johor, ilmu falak membantu memberikan petunjuk terhadap perubahan alam termasuk cuaca serta pertukaran musim yang perlu dimanfaatkan oleh manusia.

Kepakaran dalam ilmu tersebut menjadikan manusia lebih bersedia dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa kerana ilmu falak membicarakan dua perkara penting untuk diteliti iaitu masa dan tempat. Pengaplikasian ilmu tersebut dalam mendepani situasi bencana bukan satu perkara baharu. Hal ini kerana, pelaut-pelaut Melayu pada zaman dahulu telah mula menggunakan ilmu falak dengan merujuk kepada peredaran bulan untuk menjangka tarikh-tarikh fenomena musim air pasang besar ekstrem serta tarikh yang berpotensi menyebabkan banjir ketika musim tengkujuh.

Ini jelas menunjukkan bahawa ilmu falak perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya bagi mengurangkan kesan serta mudarat yang menimpa mangsa-mangsa banjir yang dilihat
semakin kritikal setiap tahun. Ilmu falak perlu dimanfaatkan sebaiknya sebagai satu bentuk usaha serta alternatif awal kepada kerajaan serta rakyat dalam mendepani bencana banjir yang pasti berlaku setiap tahun ini.

Acap kali disaksikan, apabila situasi sudah kritikal serta berada di luar jangkaan pihak sepatutnya maka baru tindakan atau bantuan diusahakan untuk mengatasinya. Jadi, perlu diambil cakna oleh pihak-pihak yang yang bertanggungjawab untuk mencari solusi serta menyusun strategi awal bagi mengurangkan impak negatif akibat bencana ini seperti menggunakan kaedah ramalan berpandukan ilmu perhitungan pergerakan alam cakerawala tersebut supaya sistem amaran awal dapat diwujudkan bagi membantu penduduk yang terkesan untuk bersedia.

Aminun Nabil Ahmad Syahir
Program Astronomi Islam, Jabatan Fiqh & Usul Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya

Muhammad Safwan Harun (Ph.D)
Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast