SUBANG – Seorang lelaki disyaki konco Ah Long yang menyimbah cat merah di sebuah rumah di Subang Jaya, di sini, semalam diberkas polis.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pada jam 6.30 petang 16 Disember lalu seorang wanita menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada anak perempuan beliau memaklumkan rumahnya telah disimbah cat.
Kakak ipar wanita tersebut juga menerima mesej WhatsApp daripada Ah Long yang mencari bekas suami mangsa, tambah beliau.
“Pengadu mengesyaki bekas suaminya adalah individu yang bertanggungjawab meminjam wang daripada Ah Long sehingga mengakibatkan gangguan terbabit.
“Bertindak atas maklumat, pada jam lebih 1.50 pagi semalam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya menahan lelaki berusia 43 tahun di Jalan Sungai Long, Kajang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Wan Azlan, pemeriksaan polis membawa kepada rampasan telefon bimbit, baju sejuk, motosikal, satu botol semburan, 14 botol sirap ros dan peralatan lain digunakan dalam kejadian itu.
Ujarnya, siasatan awal polis mendapati suspek terbabit dalam enam kes di sekitar Subang Jaya dan Petaling Jaya.
Katanya, siasatan ke atas suspek dilakukan di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Tambah beliau, suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette