Struktur konkrit pentas yang sedang dibina untuk konsert penyanyi Taiwan, Jay Chou berlangsung pada 15 Januari nanti yang akan menyebabkan 21 ribu tiket bagi perlawanan Malaysia menentang Thailand pada Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 tidak dapat dijual ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 05 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Tempahan awal penganjuran konsert Jay Chou yang akan diadakan pada 15 Januari ini menyebabkan sebahagian daripada Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) terpaksa ditutup pada perlawanan separuh akhir Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) antara Malaysia dengan Thailand, Sabtu ini.

Berikutan itu, hanya 59,000 tiket diperuntukan di stadium yang mempunyai kapasiti 80,000 penonton kerana pemasangan pentas di stadium tersebut melindungi pemandangan penonton.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, tempahan untuk mengadakan konsert itu telah dilakukan pada 13 Mac 2019 manakala Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melakukan tempahan untuk menggunakan stadium berkenaan pada 18 Ogos tahun lalu.

“Konsert perlu 14 hari pasang pentas oleh 500 krew dan 185 krew antarabangsa, 45 jentera berat, 200 speaker dan 800 lampu,” katanya dalam akaun Twitter, hari ini.

Pada perlawanan peringkat kumpulan Piala AFF antara Harimau Malaya dengan Singapura pada Selasa lalu menyaksikan kerja-kerja pemasangan pentas telah dilakukan sebelum ini.

Malah menurut Hannah, penganjur konsert itu telah mengalami kelewatan selama dua setengah hari kerana memberi ruang untuk mengadakan perlawanan Piala AFF.

Penutupan sebahagian SNBJ mendapat kritikan nitizen yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak sensitif terhadap kepentingan negara – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast