PUTRAJAYA – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi enggan mengulas mengenai dakwaan ‘Langkah London’ dalam cubaan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang melibatkan beberapa pemimpin politik, termasuk dari UMNO.
Sebaliknya, Presiden UMNO itu berkata, ia hanyalah khabar angin semata-mata.
“Saya dengar khabar angin (sahaja), (saya) tak buat keputusan based on rumours (berdasarkan kepada khabar angin),” katanya dalam sidang media sempena Amanat Tahun Baharu 2023 di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas gambar yang tersebar memaparkan individu didakwa Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengadakan pertemuan tertutup di London.
Kumpulan itu dikatakan mengadakan pertemuan rahsia di London baru-baru ini dan dituduh sedang mengatur gerakan bagi membuat penjajaran semula politik negara. – MalayaiaGazette