PELABUHAN KLANG – Kerajaan memberi jaminan Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV1) akan disiap dan diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selewat-lewatnya pada Mac tahun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, OPV kedua pula dijangka dapat disiapkan pada Oktober tahun ini.
Beliau berkata, pembinaan dua kapal marititm itu mampu disiapkan selepas kerajaan bersetuju meluluskan suntikan dana berjumlah RM152.6 juta.
“Kapal yang sebelah ini (OPT1) kalau di atas kertas, komitmen asal serahan mesti berlaku pada Mac tahun ini.
“Saya tadi telah diberikan taklimat dan sudah tentu akan ada sedikit banyak potensi beralih juga beberapa tempoh juga.
“Saya tadi menyebut dengan jelas pendirian kerajaan untuk tarikh serahan ini tidak lagi diubah atau dilanjutkan pada satu tempoh panjang atau atas alasan-alasan yang tidak boleh lagi kita kompromi.
“Itu difahami baik oleh pasukan kerja tadi,” katanya pada sidang media di Limbungan THHE, Pulau Indah, di sini, hari ini.
Rabu lalu, Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan meluluskan suntikan pinjaman RM152.6 juta bagi membolehkan pembinaan OPV dapat disiap dan diserahkan kepada APMM di dalam tempoh setahun.
Anwar berkata, projek OPV diambil alih Kementerian Kewangan daripada syarikat Tabung Haji iaitu Destini Sdn Bhd selepas ia dikesan menghadapi masalah besar.
Syarikat THHE Destini memperolehi kontrak sebanyak RM738.9 juta daripada kerajaan pada Januari 2017 untuk membekal, menguji dan mentauliah tiga buah kapal OPV untuk APMM di dalam tempoh 42 bulan.
Saifuddin juga memberi jaminan, tindakan kerajaan meluluskan suntikan dana itu bukan semata-mata untuk menyelamatkan projek sakit itu.
“Keselamatan sempadan dan rakyat jadi asas utama kepada Menteri Kewangan mengangkat cadangan supaya Kabinet bersetuju untuk dana sebesar itu diberikan.
“Sudah tentu dengan beberapa pesan yang keras kepada saya, supaya memastikan jadual serahan itu jangan lagi berubah-ubah.
“Ini kerana ia bukan satu proses penyerahan yang bertanggungjawab kalau sentiasa berubah-ubah kerana jumlah yang kerajaan belanja itu besar,” jelasnya.
Katanya lagi, bagi memastikan projek itu dapat disiapkan mengikut jadual, beliau bersama timbalannya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasaran akan memantau sendiri dari semasa ke semasa.
“Saya dan timbalan akan memastikan akhirnya ia akan membantu mempercepatkan serahan, tak boleh lagi berlalu masalah-masalah yang melengah dan melambatkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette