KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah diarahkan menyiasat isu penerbangan AirAsia X D7 219 dari Melbourne ke Kuala Lumpur yang ditunda selama empat hari sehingga menimbulkan kesulitan kepada penumpang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengeluarkan arahan tersebut setelah menerima aduan daripada seorang penumpang melalui Twitter.
“Saya mengambil maklum terhadap aduan anda. Saya akan mengarahkan pengurusan AirAsiaX untuk meminta maaf kepada semua penumpang terlibat.
“Mavcom akan menyiasat kes ini,” katanya bagi menjawab ciapan pemilik akaun Twitter @NazFarid.
Terdahulu, NazFarid memberitahu, dia dan isteri sepatutnya berlepas dari Melbourne pada 2 Januari lalu namun penerbangan mereka dibatalkan dan dijadualkan semula hari ini.
Katanya, mereka terpaksa menanggung kos seperti penginapan di hotel yang tinggi kerana membuat tempahan pada saat-saat terakhir.
“Malah saya terpaksa mengeluarkan wang dari akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan pelik wang diapungkan sebab cuti umum.
“Kami hanya makan sekali sehari sahaja pada 1 dan 2 Januari lalu disebabkan isu tersebut,” jelasnya.
NazFarid berkata, mereka telah menghubungi khidmat pelanggan AirAsia Australia melalui telefon dan tidak menerima sebarang maklum balas setakat kelmarin.
Dia memberitahu, mereka telah membuat aduan kepada MAVCOM melalui Flysmart dan telah menerima maklum balas melalui e-mel semalam.
“Kami hanya boleh membuat tuntutan sehingga RM2,000 seorang setelah tiba di Malaysia. Pada masa itu, kesulitan kami telah berakhir. Adakah RM2,000 mencukupi untuk menggantikan apa yang telah kami alami.
“Saya tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikan isu ini. Harap dengan bantuan anda, nasib kami akan terbela,” katanya lagi.
Setakat ini, AirAsia masih belum membalas ciapan Twitter Anthony dan NazFarid. – MalaysiaGazette