PENULARAN Covid-19 telah membawa kosa kata dan kefahaman baharu dalam kalangan masyarakat. Banyak istilah dan pemikiran tentang penyakit berjangkit serta kaedah pengawalannya yang menjadi buah mulut di pelbagai lapisan masyarakat. Sebagai contoh, perkataan stigma diguna secara meluas dalam membincangkan sensitiviti terhadap penyakit mental yang mendapat perhatian mendadak sepanjang pandemik. Sama ada sedar atau tidak, stigma bukan sahaja dikaitkan dengan pesakit mental. Penolakan, cemuhan, dan tindakan memalukan orang lain boleh berlaku disebabkan perbezaan-perbezaan rupa, etnik, pekerjaan, dan kedudukan sosial. Individu yang dipandang rendah oleh kebanyakan ahli masyarakat cenderung menjadi mangsa
stigma.
Baru-baru ini, tular kisah rumah sewa yang ditinggalkan dalam keadaan rosak, kotor dan teruk. Agak menghairankan apabila penyewa dikenalkan sebagai ‘asnaf’ dalam salah satu laporan di media. Ada dua sebab label asnaf tidak sesuai digunakan dalam keadaan seperti ini. Sebab pertama, laporan seperti ini boleh membiakkan atau mengukuhkan stigma terhadap golongan asnaf. Identiti penyewa tidak dimaklumkan secara jelas apatah lagi menyeluruh. Kejijikan yang berlaku pada rumah sewa itu mungkin saja lebih kuat disebabkan sifat-sifat lain pada penyewa. Pelbagai jenis kecelaruan psikologikal boleh
dikaitkan dengan kediaman yang kotor.
Ciri asnaf mungkin relevan atau juga mungkin tidak relevan sebagai penyebab kepada kerosakan yang telah terjadi. Secara tidak langsung, label yang tidak tepat ini boleh mengundang masyarakat memandang serong kepada golongan asnaf. Dalam kes ini, meletakkan label asnaf kepada penyewa dan mengaitkannya dengan sesuatu yang dipandang buruk mungkin satu tindakan yang pramatang. Sebab kedua, perkataan asnaf itu merangkumi pelbagai golongan. Bukan fakir miskin sahaja yang layak menerima zakat. Perlu diingat amil yang terlibat dalam kutipan dan agihan duit zakat juga termasuk dalam asnaf. Jadi, istilah asnaf yang cuba dikaitkan dengan akhlak pengotor turut memalit amil yang bekerjaya dan profesional.
Amat janggal jika asnaf hendak disamakan dengan fakir miskin yang tidak tahu menghargai sumbangan dan bantuan orang lain. Sikap yang negatif terhadap asnaf secara keseluruhannya tidak wajar dibentuk kerana ia melibatkan orang lain yang tidak bersalah. Kupasan isu ini menggunakan lensa psikologi adalah sesuatu yang diperlukan. Dalam usaha memartabatkan institusi zakat di dalam negara, kita tidak boleh mengabaikan individu yang terlibat sebagai penerima, pembayar, dan pengurus harta. Hubungan baik antara semua pihak yang terlibat wajar dipupuk untuk mencapai hikmah di sebalik kewajipan berzakat. Sifat rahmah dan belas kasihan dalam kalangan pembayar zakat boleh memberi kesan positif kepada mereka. Kajian psikologi telah menunjukkan bahawa kegembiraan berkait rapat dengan membantu atau memberi sesuatu yang bernilai kepada orang lain. Perlakuan penuh rahmah ke atas golongan yang kurang bernasib baik sewajarnya diiringi pemikiran yang positif dan sangka baik; bukannya stigma.
Pemikiran serong lagi tidak berasas akan mencalar sifat rahmah yang cuba dibina dalam pelaksanaan ibadah zakat. Stigma ini mungkin wujud dalam kalangan pembayar zakat. “Penerima zakat ini degil, malas, dan tahu meminta bantuan sahaja”. Stigma seperti ini mungkin menghasilkan prejudis yang menjauhkan mereka daripada penerima zakat. Selain prejudis yang kasar, ada pula prejudis ‘halus’ yang dinamakan prejudis kebajikan (benovelent prejudice). Pembayar zakat dan orang awam menyantuni penerima zakat sambil memandang rendah kepada mereka. Fenomena ini boleh dikaitkan dengan
porno kemiskinan: babak-babak bantuan kepada orang melarat dihidangkan sebagai hiburan. Pihak yang membantu diraikan seperti selebriti yang menghujankan rahmat kepada individu miskin yang perlu dikasihani.
Tidak mustahil wujud juga stigma kendiri di mana penerima zakat merasakan dirinya tidak berguna dan wajar ditolak oleh ahli masyarakat. Bahkan, ada yang reda hidup dalam keadaan melarat kerana mereka ‘layak’ menerima nasib hidup sebegitu. Jika dibiarkan, kesejahteraan psikologi penerima dan pemberi zakat akan terganggu. Usaha untuk melakukan transformasi terhadap penerima zakat dalam kalangan fakir miskin perlu melibatkan aspek psikologikal. Faktor-faktor yang membawa kepada perubahan sikap dan tingkah laku perlu difahami untuk mereka bentuk langkah intervensi dan pencegahan. Transformasi pemikiran dalam kalangan ahli masyarakat juga perlu diusahakan. Kelurusan hati dan emosi dalam memberi bantuan perlu menjadi isi muhasabah diri daripada semasa ke semasa.
Jangan biarkan stigma terhadap asnaf mencalar sifat rahmah.
Prof. Madya Dr Harris Shah Abd Hamid
Dekan Fakulti Pengurusan, Pendidikan, dan Kemanusiaan
University College MAIWP International Kuala Lumpur