Sepasang suami isteri berdepan penjara seumur eksploit kanak-kanak bagi khidmat seks, manakala empat lelaki ditahan merogol mangsa sama.

TEMERLOH – Pasangan suami isteri berdepan hukuman penjara seumur hidup jika didapati bersalah di atas kesalahan memperdagang seorang kanak-kanak berusia 13 tahun bagi eksploitasi seks.

Selain itu, empat lagi lelaki berusia 37 sehingga 57 tahun turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen 1, di sini hari ini atas kesalahan merogol dan melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa di Bera tahun lalu.

Mohd Rizal Hamzah, 38 dan isterinya, Intan wahidah Mohd Nor, 47 bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika kertas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Jamaludin Mat hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, pasangan suami isteri itu secara bersama dituduh melakukan kesalahan itu sekitar bulan Mei sehingga September 2022 lalu di sebuah kediaman di Felda Purun, Bera di bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Selain itu, Mohd Rizal juga dituduh dengan tiga kesalahan lain di bawah Seksyen 12 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 iaitu berkomunikasi dengan mangsa untuk memudahkan perlakuan rogol terhadapnya selain melakukan pengantunan (sexual grooming).

Dia juga didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan Seksyen 377CA Kanun Keseksaan iaitu melakukan persetubuhan luar tabii, Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol, selain Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana mencabul.

Manakala tertuduh, Intan Wahidah pula didakwa dengan enam lagi pertuduhan termasuk satu pertuduhan perbuatan amang seksual fizikal ke atas mangsa bawah umur itu mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, selain lima pertuduhan di bawah Seksyen 12 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Bagi kesemua kertas pertuduhan yang dibaca, Hakim Jamaludin menetapkan wang jaminan keseluruhan sebanyak RM35,000 bagi Mohd Rizal, manakala bagi Intan Wahidah pula sebanyak RM29,000 bersama seorang penjamin bercagar setiap seorang.

Selain itu, hakim turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengacau ganggu mangsa dan keluarganya sehingga kes diselesaikan.

Sementara itu, tertuduh Mohd Ismail Burhan, 42, dituduh atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal, persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dan merogol mangsa sama pada September 2022 sekitar jam 7 malam.

Mengikut pertuduhan, dia boleh dihukum dibawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan bagi setiap pertuduhan jika disabit bersalah.

Hakim menetapkan sejumlah RM10,000 wang jaminan bersama seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengacau ganggu mangsa dan keluarga mangsa sehingga kes diselesaikan.

Ahmad Rudzuan Ismail, 41 pula dituduh bagi dua pertuduhan merogol dan melakukan seks dengan memasukkan jari ke dalam kemaluan tanpa kebenaran kanak-kanak itu sekitar bulan Mei sehingga Jun 2022 di lokasi sama.

Bagi kesalahan tersebut, Ahmad Radzuan didakwa di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum sehingga 20 tahun dengan sebatan dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun berserta sebatan jika sabit kesalahan.

Hakim menetapkan wang jaminan sebanyak RM15,000 bersama seorang penjamin syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengacau ganggu mangsa dan keluarga mangsa sehingga kes diselesaikan.

Tertuduh seterusnya, Mohd Abdul Hafis Endut, 37 didakwa melakukan kesalahan merogol serta dua pertuduhan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama sekitar bulan Jun sehingga September tahun lalu.

Susulan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dihukum sebat jika sabit kesalahan.

Hakim turut menetapkan wang jaminan sebanyak RM10,000 bersama seorang penjamin syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengacau ganggu mangsa dan keluarga mangsa sehingga kes diselesaikan.

Tertuduh ke enam, Kamaruzaman Basir, 57 juga dituduh di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol mangsa bawah umur tersebut dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun berserta sebatan jika sabit kesalahan.

Hakim menetapkan wang jaminan sebanyak RM6,000 bersama seorang penjamin syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengacau ganggu mangsa dan keluarga mangsa sehingga kes diselesaikan.

Oleh kerana kesemua tertuduh tidak mengaku bersalah, hakim menetapkan tarikh 1 Mac depan untuk sebutan semula dan pengurusan kes.

Kes dikendali Timbalan Pendakwa Raya Afidatul Azwa Kamarul Anuar dan Faizah Khalilah Zaberi.

Pasangan suami isteri, Mohd Rizal dan Intan Wahidah serta Kamaruzaman diwakili Peguam Aida Rahayu Abd Rahman, manakala Ismail Burhan, Ahmad Rudzuan dan Mohd Hafiz pula diwakili Peguam Mazura Ismail.-MalaysiaGazette