KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen membongkar satu kegiatan pengeluaran kad pelarian kepada etnik Chin dari Myanmar yang didalangi sebuah pertubuhan tidak berdaftar hasil serbuan di kawasan flat di Jalan Imbi, di sini, tengah malam tadi.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pertubuhan berkenaan beroperasi di sebuah rumah flat di kawasan berkenaan sejak 2009 berdasarkan kepada papan tanda dan dokumen yang dirampas.
Beliau berkata, pertubuhan berkenaan mengeluarkan kad yang tidak diiktiraf kerajaan menggunakan mesin sendiri di pejabat mereka dan mengenakan bayaran keahlian RM500 seorang serta pelbagai bayaran lain.
“Berdasarkan resit-resit bayaran yang dirampas dianggarkan seramai 1,000 orang etnik Chin telah menjadi anggota pertubuhan ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas operasi selama dua jam itu yang berakhir pada 2.30 pagi tadi.
Menurut Khairul Dzaimee, kad memaparkan bahawa pemegang merupakan pelarian etnik Chin yang sedang menunggu kebenaran untuk ke negara ketiga.
Khairul Dzaimee berkata, pihaknya akan mengesan dalang pertubuhan berkenaan dan percaya ia didalangi individu daripada etnik berkenaan.
“Barangan yang dirampas pada operasi ini akan dirujuk kepada agensi-agensi lain di bawah Kementerian Dalam Negeri seperti Jabatan Pendaftar Pertubuhan,” katanya.
Mengulas mengenai operasi tengah malam tadi, Khairul Dzaimee berkata seramai 1,051 warga asing dari Bangladesh, Pakistan, Nepal, Myanmar, Indonesia dan India diperiksa.
Beliau berkata, 544 daripadanya yang berusia lingkungan setahun hingga 68 tahun ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan imigresen seperti tiada dokumen perjalanan, dokumen perjalanan tamat tempoh dan salah guna pas lawatan sosial.
Turut ditahan 30 kanak-kanak etnik Chin berusia antara setahun dan 10 tahun.
Menurutnya, semua yang ditahan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil dan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Seramai 115 anggota dan pegawai Jabatan Imigresen dibantu 43 anggota lain-lain jabatan seperti Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Pertahanan Awam terlibat dalam operasi ini,” katanya. – Bernama