Dua pengarah kanan syarikat bergelar Datuk diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman bagi membantu siasatan berhubung pembelian saham dan pengambilalihan konsesi Syarikat Menara Kuala Lumpur (Menara KL) di Mahkamah Majistret Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 07 JANUARI 2023.

PUTRAJAYA – Dua pengarah kanan sebuah syarikat dikenakan reman selama empat hari hingga 10 Januari ini bagi membantu siasatan berhubung pembelian saham dan pengambilalihan konsesi syarikat Menara Kuala Lumpur.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Terdahulu, kedua-dua pengarah kanan syarikat bergelar Datuk itu yang diiringi pegawai SPRM tiba di Mahkamah Majistret di Istana Kehakiman, di sini, kira-kira jam 10.40 pagi.

Sebelum itu, kedua-dua pengarah syarikat kanan terbabit yang berusia antara 49 dan 59 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM, di sini, lewat petang semalam.

Menurut sumber, salah seorang daripada suspek tersebut ialah pengarah urusan syarikat yang dikatakan mengambil alih saham Syarikat Menara KL.

Manakala seorang lagi merupakan ahli perniagaan berjawatan pengarah syarikat bertindak sebagai orang tengah dalam urusan pengambilalihan syarikat tersebut bagi pihak orang atasan.

Pemilihan syarikat terbabit disyaki melibatkan permintaan wang rasuah berjumlah ratusan ribu dan seutas jam tangan mewah sebagai hadiah kepada orang atasan bagi membantu pengambilalihan tersebut.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM menjalankan siasatan berhubung isu penjualan saham dan pengambilalihan konsesi penyelenggaraan Menara KL daripada syarikat Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, milik penuh Telekom Malaysia.

Beberapa saksi termasuk pegawai Kanan Telekom, Unit Kerjasama Awam Swast (UKAS), Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta syarikat-syarikat terlibat telah diambil kenyataan bagi membantu siasatan.

Kedua-dua suspek yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini bagi permohonan reman di bawah sekayen 117 Kanun Acara Jenayah. – MalaysiaGazette