KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka kekal diniagakan dalam jajaran kecil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan berikutan sentimen pasaran yang bercampur-campur, menurut penganalisis.
Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata, pasaran terus menjangkakan mata wang tempatan akan lemah sekali gus menyifatkannya sebagai peluang pembelian.
“Saya berpandangan ringgit akan didagangkan dalam julat yang sama iaitu 4.38 hingga 4.41 pada minggu depan sehingga data aktiviti ekonomi China mula mencatat peningkatan.
“Peniaga tempatan akan bergantung kepada data China dalam tempoh yang singkat ini,” katanya kepada Bernama.
Data Perubahan Pekerjaan Bukan Ladang ADP selaku penunjuk ekonomi bulanan di AS yang dikeluarkan pada Jumaat adalah lebih tinggi daripada jangkaan yang menunjukkan perniagaan swasta di negara itu telah mewujudkan 235,000 pekerjaan pada Disember 2022 berbanding ramalan pasaran sebanyak 150,000.
Innes berkata ia adalah optimis kepada dolar.
Bagi minggu pertama 2023, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding dolar AS apabila sentimen risiko bertambah baik dengan adanya sikap optimis berikutan pembukaan semula China.
Bagi asas minggu ke minggu, ringgit lebih rendah berbanding dolar AS kepada 4.4005/4070 pada Jumaat daripada 4.3995/4095 pada minggu sebelumnya.
Bagaimanapun, unit tempatan diniagakan lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Ia mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.2159/2336 daripada 5.2930/305 pada Jumaat minggu sebelumnya dan meningkat berbanding euro kepada 4.6254/6322 daripada 4.6881/6988 minggu lepas.
Ringgit naik berbanding yen Jepun kepada 3.2739/2793 daripada 3.3307/3385 dan menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.2664/2717 daripada 3.2786/2865 pada minggu sebelumnya. – BERNAMA