JASIN – Seorang ibu yang masih bersuami dan anak gadisnya dicekup Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) selepas dipercayai berkhalwat selama tujuh bulan dengan seorang duda di sebuah rumah di Serkam di sini Khamis lalu.
Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, lelaki dan wanita masing-masing berusia 50-an dan remaja perempuan 16 tahun itu ditahan dalam Operasi Sentuhan Kecundang oleh sepasukan 10 anggota penguat kuasa pada pukulĀ 7.05 malam.
Ketika ditahan pasangan terbabit mengaku bukan suami isteri manakala anak bongsu wanita terbabit yang dalam proses penceraian tujuh bulan lalu mendakwa lelaki terbabit adalah bakal ayahnya.
“Lelaki terbabit yang merupakan duda kematian isteri mengaku sebagai bakal suami wanita anak empat itu tetapi masih belum melakukan proses untuk bernikah kerana pasangannya itu masih berstatus isteri orang dan dalam proses penceraian.
“Wanita itu pula mengaku remaja terbabit adalah anak bongsunya dan memberi alasan telah memfailkan permohonan cerai di mahkamah syariah selepas tujuh bulan ditinggalkan suaminya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam operasi itu yang diketuai Ketua Sesyen Operasi, Bahagian Penguatkuasaan Syariah JAIM, Zurul Iman Zakaria.
Mengulas lanjut Che Sukri berkata, ketika ditahan, lelaki terbabit yang bekerja sebagai pemandu syarikat swasta mendakwa baharu sahaja datang ke rumah pasanganya itu yang merupakan pekerja kilang untuk membantunya membaiki kenderaan.
“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut menemukan pakaian-pakaian lelaki terbabit di dalam bilik dan ruang tamu rumah tersebut malah JAIM juga telah menjalankan risikan sejak beberapa minggu lalu sebelum melakukan serbuan.
“Ketiga-tiga mereka yang ditahan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Syariah JAIM untuk tindakan selanjutnya di bawah Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau 24 bulan penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Tambahnya, kejayaan itu juga adalah hasil kerjasama daripada orang awam dan ahli Rakan Setiaku JAIM (RASIM) yang menyalurkan maklumat dan membantu pihak JAIM dalam mengekang aktiviti tidak bermoral dan maksiat.
“JAIM mengalu-alukan orang ramai untuk menyertai Rakan Setiaku JAIM (RASIM) melalui link https://t.me/RASEIM bagi membantu pencegahan, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang Syariah di Negeri Melaka secara dalam talian,” katanya. – MalaysiaGazette