Keputusan perlawanan antara pasukan Malaysia menentang pasukan Thailand pada separuh akhir pertama Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 07 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Thailand mengakui skuad Harimau Malaya pasukan yang sukar digugat kerana sangat berbisa dari aspek serangan balas atas padang selepas pasukan Gajah Perang itu kalah tipis dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Ketua Jurulatihnya, Alexandre Polking berkata, walaupun anak buahnya mendominasi 73 perlawanan di atas padang sepanjang 90 minit itu, mereka telah gagal untuk menembusi gawang gol skuad tuan rumah itu.

“Memang agak sukar untuk menghadam kekalahan tipis itu tapi terpaksa menerima dan saya melihat aksi terbaik daripada Harimau Malaya yang berjaya menghalang kami menjaringkan gol dan menang.

“Tetapi misi ini tidak berakhir di sini, kita ada perlawanan timbal balik separuh akhir di Thailand nanti,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan tersebut di stadium.

Antara gelagat penyokong Thailand yang hadir untuk menyokong pasukan mereka menentang Malaysia dalam aksi perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 07 JANUARI 2023.

Ditanya sejauh mana pihaknya yakin mampu mengubah keputusan malam ini agar memihak kepada mereka dalam aksi timbal balik di halaman sendiri, Alexandre berkata, kelebihan beraksi di halaman sendiri mampu membawa tuah pada Selasa nanti.

“Adalah bukan senang untuk mendominasi sesuatu permainan di atas padang tetapi kami berjaya melakukannya dengan beberapa percubaan gol tepat di gawang lawan malangnya apa yang mengejutkan kami tak dapat menjaringkan gol sebaliknya kalah dengan bolos satu gol.

“Lagipun berdepan dengan pasukan seperti Harimau Malaya yang berbisa dalam aspek serangan balas bukan mudah untuk mengubah defisit 1-0 kepada kemenangan walaupun kelihatan tidak sukar.

“Lagipun saya perlu mengakui di sini bahawa Malaysia sepatutnya mendahului kami dengan membuka tiga gol dalam perlawanan malam tadi tapi kami lega tak bolos banyak dan tetap tak suka dengan kalah tipis,” tegasnya.

Tegas Alexandre, mereka mempunyai penyokong hebat di Thailand dan berkeyakinan tinggi mampu mengubah keputusan kalah kepada menang 10 Januari ini nanti.

“Walaupun ia misi sukar tapi kami akan mempamerkan rentak mendominasi permainan dan menjaringkan gol untuk menang juga nanti berdepan Malaysia dalam aksi timbal balik di tempat kami,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast