KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan pindaan Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008 dapat disiapkan pada Jun ini.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pindaan itu menunjukkan komitmen kerajaan untuk menambahbaik akta itu yang dianggap agak lemah itu dan perlu bersesuaian dengan peredaran zaman.
“Sebagai orang baharu, akta ini dikatakan agak lemah kerana tidak mempunyai taring dan kementerian sedang berbincang lagi dan saya harap pada Jun ini akan muktamad.
“Kita mahu penguatkuasaan misalnya tempat di mana untuk OKU tapi tidak ada penguatkuasaan dan sedang memikirnya untuk dimasukkan secara teknikal (dalam pindaan).
“Macam kita pergi di pusat beli belah, ada parkir untuk OKU dan ada orang ambil parkir itu. Adakah ada penguatkuasaan walaupun ia di bawah pengurusan pusat beli-belah.
“Itu antara salah satu penambahbaikan dan kita mahu menjadikan pindaan akta ini menjadi kuat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan 27th Annual Charity Walk-Jog-Wheel-A-Thon anjuran Persatuan Kanak-kanak Spastik Selangor dan Wilayah Persekutuan di Dataran Merdeka hari ini.
Program itu disertai oleh 1,580 orang peserta termasuk 200 orang OKU di mana jumlah kutipan dana yang berjaya diperoleh daripada 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) adalah RM200,000.
Pada bulan lalu, Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr Maziah Che Yusof berkata, kementerian menyasarkan pindaan Akta OKU 2008 dan Laporan Negara untuk Jawatankuasa Konvensyen Bagi Hak Orang Kurang Upaya (CRPD) dapat diselesaikan pada tahun ini.
Beliau berkata, KPWKM sedang meneliti cadangan pihak berkepentingan berhubung pindaan Akta OKU 2008 sebelum dibawa bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat manakala Laporan Negara CRPD pula akan dikemukakan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Katanya, Malaysia sudah meratifikasi CRPD pada 19 Julai 2010 dan meletakkan sasaran supaya kedua-dua perkara ini dapat diselesaikan pada 2023. – MalaysiaGazette