PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) merancang untuk melaksanakan program pendigitalan yang membabitkan 150 juta pelbagai jenis rekod rakyat Malaysia yang disimpan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sejak tahun 1880-an.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, rekod yang berbentuk maklumat kelahiran dan kematian penduduk di negara ini perlu disimpan dalam bentuk digital agar lebih selamat.
“JPN ada satu Bahagian Rekod seperti Arkib Negara yang menyimpan khazanah maklumat penduduk seawal abad ke-19 lagi sekitar tahun 1880-an yang berupa daftar kelahiran dan kematian.
“Walauapun pada masa itu maklumat asas direkodkan termasuk nama, nama ayah, nama mak, alamat, pekerjaan dan nama anak yang dilahirkan.
“Namun rekod itu disimpan di pejabat rekod, tidak disimpan oleh individu rakyat pun pada masa itu.
“Khazanah maklumat ini perlu kita simpan secara selamat, sesuai dengan teknologi zaman dan pastikan keselamatan rekod bagi tujuan munasabah pada masa hadapan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau bersama timbalannya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasaran mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat JPN, di sini, hampir tiga jam.
Tambahnya, usaha pendigitalan rekod penduduk negara ini belum pernah dilakukan mana-mana pihak meskipun negara telah melalui peredaran zaman.
“Usaha ini belum pernah dimulakan tapi ideanya telah diangkat oleh ketua pengarah JPN dengan rasional dan implikasi kewangan.
“Sudah tentu saya dan timbalan sangat tertarik dengan idea ini kerana menghargai rekod yang lepas.
“Ia bukan sahaja dari segi nilai sejarahnya bahkan ciri keselamatan sesuai dengan teknologi semasa,” katanya. – MalaysiaGazette