Pengarah dan pengurus syarikat diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir ke mahkamah bagi pertuduhan kes mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insetif di bawah Program Penajana Kerjaya 2.0 Perkeso di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 09 JANUARI 2023

KUALA LUMPUR – Empat individu hari ini didakwa di tiga Mahkamah Sesyen, di sini, atas enam pertuduhan mengemukakan pernyataan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM504,460.

Bagaimanapun empat tertuduh itu, termasuk seorang wanita, mengaku tidak bersalah ke atas kesemua pertuduhan selepasĀ  kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa secara berasingan.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Rozina Ayob, tertuduh Ketua Pegawai Eksekutif NVDS Technology Sdn Bhd, Md Zaidi Muhammad, 45, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan manakala bekas Pengarah Syarikat Lan Trading & Construction Co dan Percetakan Haz Sdn Bhd, Mohamed Hazzri Mohamed Amin, 45, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan yang dihadapinya.

Mengikut kertas pertuduhan, Md Zaidi didakwa menggunakan kedudukan jawatannya melalui seorang wanita telah memberikan Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja (Hiring Incentive Program) bertarikh 22 April 2021 kepada seorang pegawai perkhidmatan pekerjaan pejabat PERKESO bagi menuntut insentif di bawah program tersebut berjumlah RM343,660.

Tertuduh didakwa dengan niat memperdayakan PERKESO yang mana dokumen tersebut mengandungi pernyataan palsu tentang nama pekerja baharu sedangkan senarai pekerja yang dinamakan itu sebenarnya bukan pekerja syarikat tersebut.

Manakala, Mohamed Hazzri yang berdepan dua pertuduhan telah didakwa menggunakan kedudukannya sebagai pengarah syarikat Lan Trading & Construction Co, melalui seorang lelaki telah memberikan borang bertarikh 3 Jun dan 29 Jun 2021 kepada dua pegawai perkhidmatan pekerjaan pejabat PERKESO bagi menuntut insentif di bawah program tersebut berjumlah RM40,900, dengan niat sama.

Sementara itu, dalam pendakwaan di hadapan Hakim Suzana Hussin pula Mohamed Hazzri dan pemilik syarikat Ilham Diya Enterprise, Nor Rizan Zakaria, 59, masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap satu lagi pertuduhan iaitu melalui seorang lelaki telah memberikan borang tersebut bertarikh 6 Mac 2021 dan 29 Mei 2021 kepada seorang pegawai perkhidmatan pekerjaan pejabat PERKESO bagi menuntut insentif di bawah program tersebut berjumlah RM110,800, dengan niat yang sama.

Pengarah dan pengurus syarikat diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir ke mahkamah bagi pertuduhan kes mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insetif di bawah Program Penajana Kerjaya 2.0 Perkeso di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 09 JANUARI 2023

Manakala, seorang lagi tertuduh iaitu seorang pengurus syarikat Bmine Enterprise, Muhammad Asyraf Omar, 31, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan iaitu melalui seorang lelaki didakwa telah memberikan borang tersebut bertarikh 31 Julai 2021 kepada seorang pegawai perkhidmatan pekerjaan pejabat PERKESO bagi menuntut insentif di bawah program tersebut melibatkan dana berjumlah RM9,100 dengan niat serupa.

Md Zaidi dan Muhammad Asyraf telah didakwa melakukan kesalahan itu di alamat Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan, PERKESO di Putrajaya manakala Mohamed Hazzri dan Nor Rizan melakukan kesalahan mereka di Pejabat Perkeso yang terletak di Jalan Ampang, di sini.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di antara 6 Mac 2021 hingga 13 September 2021.

Kesemua mereka didakwa di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh juga dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih daripada 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butir palsu itu atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) SPRM Mohamad Fadhly Mohd Zamry yang mengemukakan pendakwaan itu mencadangkan wang jaminan RM70,000 untuk Md Zaidi disusuli RM20,000 untuk Mohamed Hazzri serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai.

Sementara itu, seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya (TPR) SPRM, A. Kalaivani mencadangkan kepada mahkamah agar wang jaminan RM30,000 untuk Mohamed Haazri dan RM20,000 bagi Nor Rizan berserta syarat tambahan yang sama manakala TPR Atiqah Alias pula menawarkan wang jaminan RM5,000 untuk Muhammad Asyraf di mahkamah.

Bagaimanapun, peguambela Azalea Nazihah Zulkefli mewakili tertuduh Md Zaidi merayu kebijaksanaan mahkamah agar nilai wang jaminan untuk anak guam dikurangkan antara RM15,000 hingga RM20,000 atas hujah tertuduh terpaksa menanggung isteri serta tiga anak yang masih bersekolah, ibu yang mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi serta membantu pekerjanya yang mempunyai tiga anak.

Dalam pada itu, tertuduh Mohamed Hazzri yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah agar mengenakan jumlah jaminan minimum RM2,000 atas alasan bekerja di ladang milik rakannya dengan pendapatan tidak tetap selain menanggung isteri serta empat anak dengan seorang daripadanya berstatus orang kurang upaya (OKU).

Selain itu, peguam Hasmah Nordin yang mewakili tertuduh Nor Rizan merayu nilai jaminan rendah kerana anak guamnya yang mengusahakan kantin sekolah perlu menyara bapa mentuanya yang uzur.

Selepas mendengar hujahan, Hakim Rozina memerintahkan wang jamin RM25,000 terhadap Md Zaidi dengan seorang penjamin manakala Mohamed Hazzri dibenarkan jamin RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan mereka perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan notis senarai hitam ke atas tertuduh ke luar negara dikeluarkan kepada imigresen selain dikehendaki melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran awal setiap bulan sehingga pelupusan kes.

Hakim Rozina turut menasihatkan Mohamed Hazzri agar melantik peguam segera atau mendapatkan khidmat guaman daripada Yayasan Bantuan Guaman di Mahkamah untuk menghadapi perbicaraan bagi memudahkan pemahaman aspek teknikal kes tersebut.

Sementara Hakim Suzana pula membenarkan dua lagi tertuduh Mohamed Hazzri dan Nor Rizan masing-masing diikat jamin dengan wang RM16,000 seorang penjamin selain dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai manakala Hakim Azura memerintahkan Muhammad Asyraf dijamin dengan wang RM5,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambah yang sama.

Ketiga-tiga hakim mahkamah tersebut turut menetapkan 7, 15 dan 22 Februari ini ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen.-MalaysiaGazette