KUALA LUMPUR – Indeks harga seunit beberapa bahan binaan seperti simen, batu bata dan dinding, bahan paip dan cat di semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak meningkat.
Jabatan Perangkaan berkata, indeks harga seunit simen meningkat 1.5 peratus pada Disember 2022 berbanding November 2022 dan naik dua bulan berturut-turut.
Manakala harga indeks harga seunit besi pula mencatatkan sedikit penurunan iaitu 0.4 peratus berbanding November 2022.
Penurunan indeks harga besi ini seiring dengan penurunan harga bijih besi dan besi utama dunia di peringkat global.
Selain itu, perbandingan tahun ke tahun indeks harga seunit bahan binaan mencatatkan peningkatan antara 1.8 hingga 11.8 peratus pada Disember 2022 berbanding bulan yang sama tahun lalu.
Purata harga seunit besi terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars adalah RM3,576 setiap tan metrik, turun 0.6 peratus berbanding RM3,599.34 per tan metrik.
Manakala purata harga simen mencatatkan sedikit peningakatan 0.3 peratus iaitu RM20.95/50kg berbanding RM20.88/50kg November.
Purata harga batu baur dan pasir kekal tidak berubah – masing-masing RM41.14 per tan metrik dan RM36.30 per tan metrik.
Perbandingan tahunan mencatatkan purata harga besi dan simen meningkat, masing-masing 10.2 peratus dan 9.0 peratus. – MalaysiaGazette