Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyampaikan surat kelulusan permohonan taraf kewarganegaraan Malaysia kepada penerima semasa membuat lawatan ke Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 09 JANUARI 2023.

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) dijangka membentangkan kertas Kabinet usul pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan isu kewarganegaraan selewat-lewatnya awal Februari ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kertas Kabinet itu perlu diluluskan terlebih dahulu sebelum melibatkan kementerian lain dalam pindaan peruntukan undang-undang berkaitan kewarganegaraan.

“Kami akan mulakan kertas daripada KDN dahulu untuk mendapat kelulusan dasar di peringkat Jemaah Menteri.

“Kemudian kalau ada arahan Jemaah Menteri bahawa perlu ada penglibatan bersama khususnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), baru kita pergi ke situ.

“Saya mengesahkan hal yang diumumkan Datuk Seri Azalina Othman, cuma saya juga maklumkan di peringkat KDN, jawatankuasa sudah melakukan perkembangan sangat bagus,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau bersama Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasaran mengadakan lawatan kerja di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di sini, hampir tiga jam.

Rabu lalu, Azalina berkata, kerajaan akan memulakan proses pindaan Perlembagaan Persekutuan dalam masa terdekat.

Pindaan pada Bahagian II Jadual Ke-2 Perlembagaan Persekutuan itu bagi membolehkan kanak-kanak yang dilahirkan oleh wanita warga Malaysia di luar negara mendapat hak kerakyatan negara ini, sama seperti anak kepada bapa warga Malaysia yang lahir di luar negara.

Azalina memaklumkan, Memorandum Jemaah Menteri berhubung pindaan itu akan dikemukakan ke Kabinet bersama Saifuddin Nasution, dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, KDN sudah menubuhkan jawatankuasa khusus untuk mengkaji undang-undang berkaitan dengan isu kewarganegaraan.

Menurut Saifuddin Nasution, jawatankuasa itu turut meneliti soal status anak wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing dan lahir di luar negara serta kanak-kanak berstatus tidak sah taraf.

“Mereka meneliti aspek perundangan di bawah Perlembagaan Persekutuan, mereka tahu susur galur bagaimana nak menyelesaikan isu apa, berkait seksyen apa, dan siapa yang patut kita libatkan.

“Bila kami mulakan jawatankuasa ini, persetujuan kami di peringkat kementerian itu jelas, kita harus merangkul semua kes.

“Kalau nanti kami pinda, kes mana yang undang-undang nak digunapakai, kita urus waktu itu.

“Tapi di peringkat ini, jangan ada sebarang kes pun yang tertinggal, sebab kesnya pelbagai, terlalu banyak,” ujarnya.

Ditanya tentang hasrat KDN untuk menarik balik rayuan di mahkamah mengenai isu kewarganegaraan itu, Saifuddin Nasution berkata, kerajaan tidak akan berbuat demikian.

“Soal sama ada sekarang ini kita nak tengok membawa nak tarik dan sebagainya, yang itu due proses kita izinkan dia berjalan dulu.

“Sementara due proses itu berjalan, sekarang di peringkat Mahkamah Persekutuan, itu tidak menghalang komitmen kerajaan tekad baharu, azam politik untuk melihat pindaan Perlembagaan.

“Saya fikir tiada kesan dari sudut rancangan kami isu kewarganegaraan ini dalam bentuk cadangan untuk meninjau aspek undang-undang yang perlu kita tambah baik,” katanya. – MalaysiaGazette