KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu tidak perlu pergi ke India untuk meninjau dan membeli telur ayam.
Sebaliknya beliau hanya perlu pergi ke Yong Peng, Ayer Hitam, Johor kerana kawasan itu mempunyai lebih 100 ladang ayam, kata Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Menurut beliau, Yong Peng merupakan tempat paling popular menghasilkan telur untuk pasaran tempatan malah berjuta biji telur ayam di kawasan itu dieksport ke Singapura setiap hari.
Ka Siong berasa pelik telur import dari India dijual dengan 50 sen sebiji sedangkan telur tempatan hanya boleh dijual dengan 41 sen sebiji kerana ada kawalan harga.
Menurut beliau, penternak tempatan rugi kerana kos mereka melebihi harga kawalan telur dan penternak tidak akan membela ayam untuk menghasilkan telur.
Serentak itu beliau mencadangkan harga kawalan untuk telur ayam tempatan diubah kepada 50 sen sama dengan harga yang diimport dari India.
Dengan harga itu, katanya, penternak tempatan sanggup membela ayam telur kerana mereka tidak akan menanggung kerugian.
“Kalau kerajaan mampu dan bersungguh nak bantu golongan B40, boleh wujudkan elaun telur secara top up kepada golongan B40 untuk menanggung bebanan kewangan iaitu selisih harga RM0.09 (RM0.50-RM0.41) sebiji.
“Kalau RM200 setahun, banyak telur boleh dimakan oleh keluarga B40. Abang Mat, telur India RM0.50 sebiji tau? Utamakanlah penternak tempatan.
“Tak payah import telur dari India jika bekalan mencukupi. Kan Kementerian Abang Mat turut menjaga keterjaminan makanan? Fikir-fikirkanlah Abang Mat!” kata Ka Siong lagi.
Menurut beliau, telur dan ayam adalah makanan asas rakyat tak kira kaum atau agama dan patut dijadikan keutamaan.
Tambahan pula, kesegaran telur dari India boleh dipersoalkan sekiranya diangkut melalui kapal memerlukan masa tiga hingga empat minggu untuk sampai ke Malaysia.
Presiden MCA itu mengulas laporan media Mohamad meninjau sendiri ladang ayam telur di Tamil Nadu, India pada hujung minggu lalu.
Lawatan itu juga bagi memastikan telur yang diimport untuk rakyat Malaysia adalah bersih, selamat dan lebih murah dari telur tempatan.
Mohamad menghabiskan masa selama dua jam di ladang pengeluaran dan pusat pengumpulan telur untuk pasaran Malaysia.- MalaysiaGazette