Zahid KKDW
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Penjenamaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dilaksanakan dengan kesedaran tentang perlunya proses pengislahan yang diikuti dengan pembaharuan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, gerakan islah dan tajdid bukan sahaja harus berlaku dalam gerakan sosial malah dalam kebudayaan termasuk dalam budaya kerja dan berorganisasi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberitahu, langkah itu bertujuan memastikan kementerian sentiasa segar dengan pembaharuan serta idea-idea pembangunan yang lebih baik dari semasa ke semasa.

“Perubahan penggunaan pembangunan kepada kemajuan membawa signifikan tertentu kepada KKDW. Kedua-dua istilah ini merujuk kepada bergerak ke depan dan melakukan penambahbaikan di wilayah khusus.

“Istilah pembangunan lazimnya merujuk penambahbaikan di beberapa kawasan dan mempunyai dimensi makna yang luas. Manakala istilah kemajuan pula ialah bahagian daripada pembangunan dan lebih merujuk bergerak ke depan ke arah objektif yang lebih jelas,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Menurut beliau, hasrat tersebut adalah yang diinginkan oleh kerajaan agar kemajuan dapat diukur dengan spesifik dan lebih jelas dalam kemajuan desa dan wilayah.

Ahmad Zahid turut mengetengahkan kaedah dan formula SMART iaitu Spesific, Measurable, Attainable, Relevant dan Time-Bound yang digunakan oleh KKDW bagi mengukur kemajuan dan pembangunan.

Beliau berkata, Specific dalam konteks tersebut adalah jelas objektif untuk dicapai manakala Measurable adalah jelas boleh diukur dengan pelbagai ukuran tepat dan dapat dipertanggungjawabkan.

Attainable pula dapat dicapai secara realistik. Relevant pula kepada masyarakat dan memberikan impak sosial terbesar golongan sasar.

“Time-Bound ialah mempunyai jangkauan masa untuk dicapai segera agar tidak terhambat oleh cabaran yang berlaku,” jelasnya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memberitahu, apabila kerangka dan formula SMART ada dalam agenda KKDW, maka ia dapat mengingatkan kembali konsep emperatif DESA yang telah beliau perkenalkan sebelum ini yang lebih tinggi nilai persona sesuai imiginasi masyarakat kontemporari.

Pada masa yang sama, beliau juga menyeru bagi menilai keberadaan situasi, maka perlu perancangan strategik dan teknik pengurusan strategik.

“Maka tidak perlu apologetik untuk kita menggunakan analisis kekuatan, kelemanhan, peluang dan ancaman (SWOT) untuk membantu organisasi mengenal pasti kekuatan, kelemahan, cabaran dan peluang yang menghasilkan yang lebih terbaik untuk seluruh agensi di bawah KKDW,” katanya.

Ahmad Zahid berpandangan, aspek mendapatkan petanda aras terbaik kawasan kemajuan desa contoh bukan sahaja di Korea Selatan semata-mata, malah perlu diperluaskan kaca mata amalan terbaik desa makmur di Jepun, Taiwan, Eropah, Thailand, Indonesia dan sebagainya.

“Aspek ini penting juga untuk memberikan perspektif yang menyeluruh agar Malaysia mendapat manfaat terbaik,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast