PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Myanmar ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kes penemuan mayat sepupunya di sebuah kandang ternakan di Selaru, Dangi, Kuala Pilah awal pagi semalam.

Mangsa, 26 tahun ditemui oleh majikannya di ladang berkenaan kira-kira jam 3 pagi dengan kesan kecederaan pada kepala akibat dipukul dengan alat tumpul.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Supritendan Amran Mohd Ghani berkata, Gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Pilah menerima panggilan daripada seorang lelaki merupakan penternak haiwan kira-kira jam 3 pagi semalam.

“Dia melaporkan pekerjanya, rakyat Myanmar, ditemui telah meninggal dunia di kandang ternakan di Selaru,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala akibat dipukul dengan menggunakan alat tumpul.

“Pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan telah menjumpai sebatang kayu yang padan dengan luka kecederaan pada kepala mangsa termasuk lain-lain bukti di lokasi kejadian,” katanya.

Menurut Amran, bertindak atas maklumat kes itu, pihak polis telah membuat tangkapan terhadap seorang lelaki.

“Suspek warga Myanmar berusia 21 tahun itu yang juga merupakan sepupu kepada mangsa ditahan ketika cuba melarikan diri, tidak jauh dari lokasi kejadian di tepi jalan Selaru, Dangi kurang satu jam selepas laporan diterima.

“Turut dirampas adalah beg galas berisi pakaian, telefon bimbit dan botol arak,” katanya.

Jelas Amran, tangkapan telah mendapat perintah tahanan reman bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Amran memohon mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian 06-4842999. – MalaysiaGazette