KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memenuhi komitmen antirasuah dan menunjukkan hasil dalam masa setahun pentadbirannya.
Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, matlamat itu mesti dicapai sebelum Transparency International (TI) menerbitkan laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2023 pada Januari tahun depan.
Menurut beliau, sekarang sudah terlalu lambat untuk Anwar berbuat apa-apa untuk menaikkan kedudukan dan markah Malaysia dalam TI-CPI 2022 yang akan diterbitkan bulan ini.
“Yang berkemungkinan besar akan menjadi TI-CPI terburuk dalam sejarah negara sejak indeks ini diterbitkan 28 tahun yang lalu walaupun kita telah mencatatkan kedudukan yang terbaik di bawah kerajaan Pakatan Harapan pada tahun 2019,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Kit Siang menambah, melainkan Kerajaan Perpaduan ditumbangkan dalam tahun ini, tiada alasan bagi Anwar tidak menambah baik kedudukan dan markah Malaysia dalam TI-CPI 2023.
Beliau memberitahu, ia akan menandakan perjalanan panjang untuk Malaysia menjadi dalam kalangan 30 negara dengan integriti awam terbaik dunia.
“Ini adalah bidang terpenting yang mana kita telah menyaksikan kemerosotan dalam enam dekad yang lepas, di mana Malaysia telah jatuh dari berada dalam kalangan negara terbaik dunia kepada sebuah negara yang ketinggalan di Asia,” jelasnya.
Sehubungan itu, Kit Siang berharap Anwar dapat mengemukakan cadangan bagaimana mahu meletakkan Malaysia dalam kalangan 30 negara terbaik di dunia dari segi integriti awam pada program perhimpunan para menteri minggu depan dan sidang Parlimen bulan depan. – MalaysiaGazette