Temubual eksklusif bersama Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 10 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Semua parti politik di Sabah perlu mencari keserasian antara satu sama lain jika berhasrat menubuhkan Kerajaan Perpaduan di negeri itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun formula Kerajaan Perpaduan adalah jalan penyelesaian terbaik, namun ia masih sukar dilakukan di Sabah ketika ini.

“Yang terbaik bagi mewujudkan Kerajaan Perpaduan di Sabah, di mana ia melibatkan semua parti politik yang berada dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat.

“Tapi agak sukar walaupun tidak mustahil untuk dilaksanakan. Kita mesti mewujudkan keserasian di antara semua parti politik

“Sebab setiap parti politik mempunyai hala tuju masing-masing,” katanya kepada MalaysiaGazette di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menemui pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah di Ibu Pejabat UMNO Sabah di Kota Kinabalu.

Perjumpaan secara bersemuka bersama Pengerusi BN Sabah, Datuk Bung Moktar Radin itu bagi menyelesaikan kemelut politik yang melanda Sabah ketika ini.

Kemelut politik Sabah tercetus apabila ada cubaan menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor melalui Langkah Kinabalu atau Langkah Sutera pada 4 Januari lalu.

Ia susulan tindakan Bung Moktar mengumumkan pihaknya menamatkan kerjasama membentuk Kerajaan Negeri Sabah yang dimeterai sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) pada September 2020.

Ahmad Zahid menambah, formula kerajaan perpaduan di Putrajaya mungkin sukar dilaksanakan di Sabah kerana ia jauh berbeza dengan Semenanjung.

“Tentu cara Sabah mesti berlainan daripada cara di pusat, cara di Sarawak pun berbeza

“Oleh sebab itu, kita harus menyantuni masalah politik di Sabah itu secara keserasian di Sabah, ini paling penting,” katanya. – MalaysiaGazette