Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan dicadangkan supaya membuat beberapa perubahan berkaitan perkhidmatan pegawai tertinggi kerajaan dengan melaksanakan sistem meritokrasi.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata, dengan pelaksanaan sistem itu, mana-mana pegawai yang tidak cekap akan digantikan kepada mereka yang lebih inovatif berdasarkan kebolehan dan kelayakan.

Katanya, setakat ubah frasa “Saya Yang Menurut Perintah” kepada “Saya Yang Menjalankan Amanah” tidak memberi apa-apa kesan kalau pegawai itu lemah dan mengikut arahan majikan mereka.

“Cadangan saya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah laksanakan sistem meritokrasi dalam jabatan dan agensi kerajaan.

“Mana-mana pegawai yang terbaik antara mereka dinaikkan pangkat. Biar pegawai yang tidak cekap ini tahu, kalau mereka berterusan lembab, tempat mereka akan digantikan oleh pegawai yang cekap dan berpengetahuan.

“Budaya kerja dalam kalangan pegawai kerajaan ini perlukan persaingan, kalau tidak ada persaingan sebagaimana saya cadangkan ini, ia akan jadi lembab selama-lamanya. Inilah punca berlaku skandal dan penyalahgunaan kuasa oleh pihak tertentu dalam negara ini,” katanya menerusi hantaran Facebooknya.

Sehubungan itu, beliau mahu Anwar jadikan sistem meritokrasi sebagai dasar pelaksanaan yang serius bagi memastikan negara bebas dari rasuah, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya.

Katanya, pelaksanaan sistem itu boleh dilakukan di semua peringkat sama ada di jabatan kerajaan, universiti mahupun pendidikan.

Ujar beliau, selagi kerajaan tidak ubah kualiti pegawai berkenaan, selama itu negara dihidangkan dengan skandal.

“Pertukaran slogan atau frasa tidak menjadi erti, tidak memberi apa-apa kesan kalau kerajaan mempunyai pegawai yang sentiasa mengikut arahan majikan.

“Budaya ikut ini menyebabkan negara tidak habis-habis dengan skandal, isu dan kes,” katanya.

Katanya, majikan tidak berani menyalahgunakan kuasa atau membuli kalau pegawai kerajaan itu tegas dan menjalankan tugas mengikut peraturan.

“Macam mana kita nak hapuskan rasuah kalau budaya takut kepada ketua ini tidak dapat diatasi? Jadi, Perdana Menteri perlu ada perancangan untuk ubah mentaliti ini,” katanya.

Zaid turut mencadangkan kerajaan memperuntukkan kira-kira 30 peratus kuota penjawat awam kepada kaum Cina dan India.

Jelas beliau, apabila ada campuran kaum dalam jabatan, maka budaya ‘ikut perintah’ oleh penjawat Melayu dapat dielakkan. – MalaysiaGazette