KUALA LUMPUR – Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO sememangnya paling hangat diperkatakan ketika musim pemilihan parti kelak.
Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang mendedahkan, pihaknya meramalkan sekurang-kurangnya lima nama disebut-sebut mahu merebut jawatan dua tertinggi itu.
Tanpa menyebut sebarang nama, Maulizan berkata, gelombang yang mahu perubahan semakin terasa dalam UMNO dan sudah ada pihak menonjolkan diri.
Malah individu-individu terbabit juga mahu menguji keabsahan dua jawatan tertinggi parti.
“Oleh itu, demokrasi subur dalam UMNO, usul khas tak mahu pertandingan jawatan presiden, timbalan presiden tidak seharusnya dibangkitkan dalam PAU kali ini sesuai dengan pandangan ramai pemimpin akar umbi sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Maulizan turut berkata, individu-individu yang ‘mengintai’ kerusi presiden dilihat mahu merebut peluang selepas UMNO yang dipimpin oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan prestasi yang lemah semasa PRU15.
Sebelum ini, Ahmad Zahid terbuka untuk dicabar oleh sesiapa sahaja yang berhasrat untuk memegang jawatan nombor satu parti itu pada pemilihan parti akan datang.
Tegasnya, sebelum ini beliau juga pernah dicabar dalam pemilihan pada 2018 namun kedua-dua pencabarnya gagal memperolehi undi yang banyak.
Untuk rekod, pada Pemilihan UMNO 2018, Ahmad Zahid diangkat sebagai Presiden selepas Datuk Seri Najib Razak melepaskan kedudukan itu dan berjaya mengalahkan pencabarnya.
Ahmad Zahid memperoleh 93 undi menewaskan empat pencabar termasuk Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang juga Ahli Parlimen Rembau ketika itu, Khairy Jamaluddin yang mendapat 51 undi dan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah selaku Ahli Parlimen Gua Musang memperoleh 23 undi.
Dua lagi pencabarnya yang kurang dikenali iaitu ahli UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Mohamed Iqbal Maricair dan ahli UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Mohd Yusof Musa@Jamaluddin, gagal memperoleh sebarang undi. – MalaysiaGazette