Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berucap pada Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MUHD NA’IM, 11 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan malam ini menjawab persoalan ahli parti itu berhubung keputusan UMNO untuk bekerjasama dengan DAP dan Pakatan Harapan dalam Kerajaan Perpaduan berbanding pendirian parti itu sebelum ini.

Mohamad berkata, pendirian politik mestilah diasaskan kepada realiti politik dan mesti disesuaikan dengan keperluan dan kedinamikan semasa.

Menurut Mohamad, UMNO dan DAP saling mengenali pendirian masing-masing dan kerana itu kedua-dua parti tidak perlu berpura-pura dalam persahabatan yang dijalin.

“Kita memang kenal pendirian mereka. Mereka juga faham pendirian kita.

“Mereka DAP tidak bermuka-muka dan berpura-pura setiakawan. Kita pun tidak perlu berpura-pura.

“Kita tahu siapa itu DAP. Kita juga tahu siapa itu PKR dan Amanah. Maka kita membuat keputusan, berdasarkan pilihan paling sesuai, untuk membolehkan kita mengurus perbezaan,” kata Mohamad.

Ia adalah sesuatu yang tidak dapat UMNO lakukan jika parti itu menyertai Kerajaan pimpinan PN.

Dalam ucapan perasmian Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri sempena Perhimpunan Agung UMNO malam ini, Mohamad berkata, kerjasama dengan PH telah menjadikan UMNO parti yang mewakili kepentingan Melayu terbesar dalam kerajaan.

Mohamad turut menjelaskan, UMNO amat sukar untuk bekerjasama dengan PN yang diwujudkan hanya untuk menghapuskan parti ini.

“Begitu juga, pengalaman kita, bekerjasama dengan Pas. Mereka tidak pernah, setia atau ikhlas.

“Tanpa segan, mereka berselingkuh dengan semua parti, terutamanya si janda UMNO. Lihat sahaja rekod mereka, dengan DAP dan PKR. Akhirnya, semua membawa haluan masing-masing.

“Dengan pengalaman, bekerjasama secara ‘marriage of convenience’, semenjak Langkah Sheraton, UMNO merasakan, bahawa kita memerlukan, sesuatu yang lebih lestari dan konkrit,” kata Mohamad.

Justeru katannya, bila Istana Negara mengusulkan penubuhan Kerajaan Perpaduan kepada UMNO, kita mendapati ia adalah penyelesian yang paling ampuh.

Tambah Mohamad, menyertai Kerajaan Perpaduan, bukan sahaja, sangat penting untuk UMNO tetapi juga sangat penting untuk masa depan Malaysia.

“Maka kita memilih mengutamakan kerajaan, dengan perwakilan daripada pelbagai parti, yang dipilih secara demokratik.

“Ini strategik, kepada masa depan UMNO, kerana ia memberikan kita, suara dalam kerajaan baharu,” kata Mohamad.

UMNO kata Mohamad, juga menyedari bahawa tidak mudah untuk parti itu memilih untuk menjadi pembangkang.

Dengan pengalaman terbatas sebagai pembangkang, UMNO mungkin akan terus lemah, jika ia berada di luar kerajaan.

Parti itu turut memilih PH kerana merasakan sudah tiba masanya untuk kita tidak terbelenggu dengan ideologi parti tertentu dalam saat paling kritikal untuk Malaysia.

“Yang penting kepada kita, ialah memberi fokus kepada ‘governing’. Keutamaan UMNO, ialah kestabilan politik Malaysia, dan bukannya idelogi politik rakan kerjasama kita, dalam kerajaan perpaduan,” kata Mohamad.

Beliau menjelaskan, UMNO tidak boleh membiarkan, masa depan Malaysia dicorakkan oleh ‘the rightist’ atau ‘the leftist’.

Keanggotaan Jemaah Menteri pula mestilah menggambarkan sifat kemajmukan Malaysia.

Katanya, taktik melantik seorang dua wakil Cina dan India dan beberapa wakil dari Sabah, serta Sarawak, dalam Jemaah Menteri, bukan lagi cara untuk Malaysia.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast