KUALA LUMPUR – Penularan poster #resetUMNO yang sedang tular di media sosial hari ini hanya sekadar khabar angin semata-mata, apatah lagi ia cubaan mengeruhkan suasana dalam Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan perkara itu sebagai asam garam untuk menjadikan UMNO lebih mendapat perhatian rakyat.
“Kita perlu mengambil masa untuk melihat suasana kerana hari ini, hari pertama PAU2022, kali ini sudah tentu banyak desas-desus, ini adalah asam garam jadikan UMNO itu menarik untuk UMNO itu diberikan perhatian.
“Ini jalan ceritanya mestilah pelbagai, jangan ada nasi, ada lauk, ada sambal ada masin, ada pedas, ada masam, menjadikan UMNO sebagai sebuah parti yang cukup menarik, ada rasa yang pelbagai kepada rakyatnya,” katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.
Terdahulu tular poster bertajuk #resetUMNO yang memaparkan beberapa figura penting dalam UMNO, kononnya wujud gerakan baharu menjelang pemilihan UMNO yang bakal diadakan pada tahun ini.
Poster itu memaparkan beberapa wajah pemimpin UMNO yang bakal mencabar penyandang jawatan penting dalam pemilihan parti itu, khususnya presiden, timbalan presiden, naib presiden, ketua wanita, ketua Pergerakan Pemuda dan ketua Pergerakan Puteri.
Antara yang dinamakan di dalam poster itu ialah Datuk Johari Abdul Ghani, Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Hasni Mohammad, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Dr Norani Ahmad, Shahril Hamdan dan Masliha Harun.
Dalam pada itu, Ahmad Shabery menambah, sebagai parti yang mengamalkan semangat demokrasi, kewujudan poster seperti itu perlu diterima, apatah lagi untuk membawa perubahan di dalam UMNO.
“Kalau orang nak menyatakan pandangannya, kita rasa kita patut terima, akhirnya di hujung perhimpunan ini apakah konklusi yang perlu kita hadapi.
“Hari ni kita memulakan permulaan yang baik, mood yang begitu memberangsangkan yang diterima oleh rakyat bagi mengubat kedukaan yang kita hadapi selepas pilihan raya lepas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette