affin takaful bancatakaful
Nor Azman Zainal (tiga dari kiri) dan Syed Mashafuddin Syed Badarudin (dua dari kiri) serta Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Malaysia Am, Mohamed Sabri Ramli (kanan), Pengerusi Affin Islamic, Musa Abdul Malek dan Pengerusi Takaful Malaysia Am, Ismail Mahbob (dua dari kanan) di majlis pengumuman perkongsian strategik bancatakaful antara Takaful Malaysia dan Affin Islamic di Kuala Lumpur, hari ini. (Gambar: Takaful Malaysia)

KUALA LUMPUR – Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad dan anak syarikatnya, Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad memeterai perjanjian perkongsian strategik bancatakaful bersama Affin Islamic Bank Berhad hari ini.

Perkongsian strategik pilihan itu memberi Takaful Malaysia akses kepada pangkalan pelanggan, rangkaian cawangan dan tenaga jualan Affin Islamic justeru membolehkan ia mengembangkan tawaran produknya dalam memberikan nilai yang lebih besar untuk pelanggannya.

Takaful Malaysia Keluarga dan Takaful Malaysia Am telah memeterai perjanjian perkhidmatan bancatakaful bersama Affin Islamic untuk mempromosikan dan memasarkan produk keluarga dan takaful am yang ditawarkan oleh Takaful Malaysia untuk tempoh lima tahun mulai 1 Januari lalu, dengan pilihan bagi Affin Islamic meneruskan perkongsian untuk lima tahun lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, perkongsian strategik dengan Affin Islamic selama ini telah berjaya memacu jualan tahunan yang membanggakan serta pertumbuhan keuntungan perniagaan baharu yang mampan.

Menurut beliau, perkongsian bancatakaful melambangkan komitmen syarikatnya untuk menyediakan akses kepada rangkaian produk takaful inovatif bagi pelanggan Affin Islamic untuk memenuhi keperluan perlindungan mereka yang semakin meningkat dan membangunkan penasihat perniagaan takaful keluarga.

“Terdapat peluang besar untuk pertumbuhan masa depan dalam perniagaan bancatakaful dan perkongsian strategik pilihan ini juga mencerminkan dedikasi untuk memanfaatkan keupayaan kami memberi manfaat kepada pelanggan Affin Islamic,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic, Datuk Syed Mashafuddin Syed Badarudin memberitahu, mempamerkan komitmen Affin Islamic untuk menawarkan penyelesaian kewangan holistik kepada para pelanggan bank dan meningkatkan pengalaman pelanggan secara keseluruhan.

Beliau menambah, perkongsian itu akan membuka peluang kepada pelanggan Affin Islamic untuk mendapat akses terhadap rangkaian produk dan penyelesaian takaful yang luas.

“Kami gembira dapat bekerjasama dengan Takaful Malaysia untuk memanfaatkan potensi manfaat kewangan Islam di Malaysia.

“Kami yakin semua usaha ini akan menyumbang ke arah mengubah Affin menjadi bank yang lebih progresif dan moden,” jelasnya. – MalaysiaGazette