Ahmad Yahaya - foto HAZROL ZAINAL, 02 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan tuduhan DAP bahawa parti itu cuba menjadi polis moral berikutan isu promosi arak di sebuah pasar raya di Permatang Pauh, Pulau Pinang sebagai jelik.

Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) Datuk Ahmad Yahaya berkata, kenyataan itu mengambarkan DAP tidak faham isu sensitif berkaitan umat Islam.

“Langkah mempromosi arak secara berlebihan di kawasan majoriti umat Islam merupakan suatu tindakan yang tidak wajar.

“Ironinya tindakan tegas Ahli Parlimen tersebut mendapat reaksi negatif sebahagian pemimpin PH/DAP yang menganggap Pas menjadi ‘polis moral’.

“Amat menjelikkan apabila kenyataan mereka langsung tidak mencerminkan kefahaman mereka terhadap isu-isu sensitif melibatkan umat Islam,” kata Ahmad.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pokok Sena itu berkata, situasi sama berlaku ketika Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi mengumumkan penutupan premis perjudian di negeri itu pada 1 Januari lalu.

Katanya, sebahagian pimpinan DAP menganggap tindakan Kerajaan Negeri Kedah ‘merosakkan keharmonian masyarakat’.

“DUPP berpandangan apabila prinsip moral tidak dikawal berpandukan ajaran agama, maka nafsu kebinatangan akan menguasai diri seseorang dan merebak kepada sebuah masyarakat.

“Begitulah ideologi dan perlakuan LGBT berkembang dalam dunia hari ini.

“Oleh sebab itu, langkah yang diambil ini bagi menguruskan moral bermasyarakat supaya tidak terus merosak,” katanya.

Ahmad menegaskan, Pas akan sentiasa mempertahankan seruan amar ma’ruf nahi munkar dalam masyarakat.

Ia secara asas adalah tanggungjawab yang terpikul bersama oleh umat Islam.

Ahmad memuji langkah proaktif Ahli Parlimen Permatang Pauh, Fawwaz Md Jan serta ahli Pas di yang menangani isu promosi arak yang berlebihan di kawasan itu.

Beliau berkata, perbincangan dua hala bersama pihak pengurusan pasar raya tersebut melambangkan kematangan Pas dalam membawa penyelesaian suara rakyat setempat.

Sebelum ini Seorang ADUN Pulau Pinang membidas tindakan Ahli Parlimen Permatang Pauh dari Pas yang dianggap mengambil peranan sebagai ‘polis moral’ di kawasan berkenaan baru-baru ini.

Daniel Gooi berkata, langkah diambil Muhammad Fawwaz dalam isu promosi jualan minuman keras untuk orang bukan Islam itu juga mengundang tanda tanya lain.

Kata ADUN Pengkalan Kota berkenaan, aktiviti promosi minuman keras di sebuah pusat beli-belah di Seberang Jaya itu dibuat sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina yang akan menjelang tidak lama lagi.

Katanya, memang sangat nyata dan jelas promosi tersebut ditujukan kepada golongan bukan muslim serta dianjurkan dengan mematuhi segala undang-undang yang sedia ada.-MalaysiaGazette

 

1 Komen

Comments are closed.