Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Industri sawit Malaysia akan meneruskan prestasi memberangsangkan tahun ini disokong oleh permintaan kukuh bagi komoditi itu dan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, eksport minyak sawit dijangka meningkat 3.7 peratus kepada 16.30 juta tan pada 2023 daripada 15.72 juta tan tahun lepas, dikaitkan dengan jangkaan permintaan minyak sawit yang berterusan daripada negara pengimport.

Beliau berkata, eksport minyak sawit merekodkan 15.72 juta tan pada tahun 2022 meningkat sedikit sebanyak satu peratus berbanding 15.57 juta tan pada tahun sebelumnya disebabkan permintaan yang lebih tinggi, terutamanya dari Emiriah Arab Baesaru (UAE), Arab Saudi, Jepun, Bangladesh dan Mesir.

Beliau meramalkan pengeluaran meningkat tiga peratus kepada 19 juta tan pada 2023 daripada 18.45 juta tan pada 2022 berikutan jangkaan peningkatan dalam kawasan tanaman matang terutamanya di Semenanjung Malaysia dan Sarawak, keadaan cuaca yang dijangka lebih baik serta situasi tenaga kerja yang dijangka stabil kerana permohonan pekerja asing telah diluluskan secara berperingkat.

Pengeluaran 18.45 juta tan pada 2022 adalah 1.9 peratus lebih tinggi berbanding 18.12 juta tan pada 2021 dan ini disebabkan peningkatan buah tandan segar (BTS) yang diproses sebanyak 3.4 peratus berikutan prestasi hasil BTS yang lebih baik sebanyak 0.1 peratus kepada 15.49 tan setiap satu hektar.

Menurut Ahmad Parveez, harga minyak sawit mentah (MSM) pada 2023 dijangka berkisar antara RM4,000 dan RM4,200 satu tan berbanding RM5,087.50 satu tan pada tahun sebelumnya.

“Faktor utama yang akan mempengaruhi harga MSM ialah ketersediaan tenaga kerja yang masih menjadi isu, pengeluaran biji bunga matahari yang lebih rendah dari Ukraine disebabkan konflik yang berterusan dengan Rusia dan import minyak sawit yang lebih tinggi oleh China kerana ia melonggarkan peraturan COVID-19,” kata beliau dalam pembentangan pada Seminar Tinjauan dan Pandangan Ekonomi Minyak Sawit (R&O) 2023, di sini, hari ini.

“Faktor lain termasuk pengeluaran MSM Indonesia dipersoalkan, mandat biodieselnya kepada B35 dan dasar eksportnya yang diperketatkan,” katanya.

Datuk Dr. Ahmad Parveez berkata, berkuatkuasa 1 Januari 2023, Indonesia telah mengetatkan dasar eksport minyak sawitnya bagi mengekalkan lebih banyak bekalan domestik dan mengurangkan eksport bagi memastikan minyak sawit mencukupi untuk musim perayaan kerana pengeluaran dijangka rendah mengikut musim pada suku pertama tahun ini.

“Berkuatkuasa 1 Februari 2023, Indonesia akan mengenakan mandat campuran biodiesel yang lebih tinggi, B35 daripada B30, dan seterusnya akan meningkatkan penggunaan minyak sawit domestik. Perubahan dasar terbaru ini akan menyekat lagi bekalan minyak sawit global.

“Justeru, permintaan minyak sawit Malaysia dijangka meningkat yang akhirnya akan membantu mengurangkan stok minyak sawit domestik yang lebih tinggi,” katanya.

Menurutnya, kebimbangan terhadap risiko bekalan kacang soya akibat trend cuaca kering di Argentina dan selatan Brazil yang menjejaskan tanaman adalah satu lagi faktor yang akan mempengaruhi harga MSM negara.

“Walaupun terdapat beberapa isyarat bahawa cuaca kering di Amerika Selatan semakin baik, ia mungkin terlalu lewat ketika ini untuk menyelamatkan tanaman,” katanya.

Datuk Dr. Ahmad Parveez berkata, stok minyak sawit Malaysia dijangka susut 8.7 peratus kepada dua juta tan pada 2023 daripada 2.19 juta tan tahun lepas berikutan jangkaan peningkatan permintaan eksport, terutamanya dari negara pengimport utama.

Stok akhir minyak sawit, berjumlah 2.19 juta tahun tahun lepas, lebih tinggi sebanyak 35.9 peratus berbanding 1.61 juta tan yang dicatatkan pada Disember 2021.

“Ini disebabkan oleh pengeluaran MSM yang lebih tinggi sebanyak 0.34 juta tan atau 1.9 peratus dan stok pembukaan minyak sawit yang lebih tinggi sebanyak 0.35 juta tan atau 27.6 peratus,” katanya.

Beliau menambah, bagi seluruh Malaysia, pendapatan bersih bulanan pekebun kecil persendirian berdasarkan purata pemilikan kebun adalah RM2,634.

Sabah mencatat RM4,394, Sarawak merekod RM3,189 manakala Semenanjung Malaysia pula adalah RM2,150. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast