Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berucap pada Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 11 JANUARI 2023.

SETIAP kali Perhimpunan Agung UMNO berlangsung isu yang akan dibangkitkan adalah mengenai ketidakupayaan parti itu menguasai media sosial.

Dalam ucapan perasmian persidangan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO malam tadi Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan berkata cognitive war yang dilancarkan oleh pihak lawan secara konsisten menggunakan ruang maya sebagai lubuk untuk menanam sentimen jahat terhadap UMNO.

“UMNO dilabel rasuah, UMNO kotor, gila kuasa dan segala kata nista yang menjengkelkan. Tidak cukup dengan itu, mereka melabel, pemimpin kita, kleptokrat, tidak bermoral, dan segala macam lagi, tohmahan lain, yang mampu mencemar kepimpinan kita.

“Semuanya disampaikan, dalam pelbagai bentuk grafik, video, dan banyak lagi naratif lain. Dipancar, dan disebar, luaskan melalui platform Tik Tok, Instagram, Facebook, WhatsApp dan Twitter.

“Di ambang pilihanraya, strategi ‘cognitive war’ ini, telah mereka giatkan, berlipat kali ganda. Kita juga diserang hebat, oleh ‘cybertroopers’, dari pelbagai arah,” kata Mohamad.

Perkara yang sama diturut disentuh oleh ketua-ketua sayap dalam ucapan dasar pagi ini.

Ketua Pergerakan Wanita Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad misalnya berkata, UMNO kalah akibat permainan persepsi yang amat-amat dahsyat.

“Didorong oleh sumber kewangan yang wallahi tidak dijangka seperti yang telah diviralkan,” kata Noraini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam menyentuh itu pula menegaskan, parti tidak boleh lagi berasa bangga dengan kekuatan jentera parti yang masih menggunakan pendekatan tradisional.

“Sedangkan musuh yang jauh lebih kecil jenteranya, mampu menewaskan kita dengan memanfaatkan teknologi komunikasi semaksimumnya,” kata Asyraf.

Isu sama disentuh oleh Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Zahida Zarik Khan.

“Kita kalah bukan kerana tidak cukup memberi khidmat, kita kalah kerana tidak mampu melawan perang persepsi yang mereka mainkan,” kata Zahida.

Masalah dengan pemimpin UMNO adalah mereka seolah-olah ketinggalan zaman kerana media sosial bukan perkara baharu.

Malah mereka telah membincangkan perkara sama dalam perhimpunan agung parti sejak Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008 yang menyaksikan beberapa negeri yang dikuasai jatuh ke pihak lawan.

Mereka mengulangi perbincangan sama selepas Pilihan Raya Umum ke-13 selepas parti berkenaan terus mengalami kemerosotan penguasaan kerusi.

Seolah-olah tidak pernah belajar UMNO terus dikeronyok, diperbodohkan dan ditohmah dalam media sosial ketika negara menunju Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

Akibatnya parti itu tewas dan terpaksa melepaskan pentadbiran kepada Pakatan Harapan. Sekali lagi dalam perhimpunan agung-perhimpunan agung mereka berbincang mengenai kegagalan menguasai media sosial.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15,UMNO dan BN masih tidak menguasai media sosial.

Hanya beberapa kerat yang aktif termasuk melawan tohmahan di media sosial seperti bekas Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Najib Razak. Selepas Najib dipenjara UMNO kehilangan pahlawan siber.

Akhirnya parti itu kalah teruk dengan hanya memperoleh 30 kerusi.

Hari ini, ketika perhimpunan agung yang pertama diadakan selepas parti itu tewas memalukan, mereka masih lagi berbincang perkara sama iaitu gagal menguasai media sosia.

Nampaknya UMNO tidak pernah belajar. Pemimpinnya seolah-olah berharap keajaiban.

Berharap agar ahli-ahlinya aktif berjuang untuk mereka di alam maya sedangkan pemimpin-pemimpin yang mendapat manfaat jawatan dan kedudukan tidak nampak langsung menjadi pahlawan di alam maya.

Jika terus mengeluh dan mengadu tanpa kesedaran untuk berbuat apa-apa UMNO hanya menempah ‘kematian’ pada Pilihan Raya Umum ke-16 nanti.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast