Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan menyampaikan ucapan penggulungan Persidangan Pergerakan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Puteri UMNO akan melakukan ‘post mortem’ khas bagi mengkaji punca utama yang menyebabkan anak muda menolak calon sayap itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lepas.

Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, UMNO merupakan parti perjuangan dan prinsip itu perlu dipertahankan selagi hayat dikandung badan.

Justeru katanya, bedah siasat itu akan dilakukan dalam masa terdekat bagi memastikan Puteri UMNO terus relevan kepada anak muda pada masa ini.

“Ini untuk mengkaji apakah faktor yang menjadi penyebab anak muda tidak bersama kita pada pilihan raya lalu dan apa faktor yang mempengaruhi trend pengundian mereka.

“Jangan hanya salah menyalahi antara satu sama lain sebaliknya kita perlu bersama mencari solusi bagaimana mahu meyakinkan orang muda kembali bersama kita pada PRU-16,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Dalam pada itu Zahida berkata, kepimpinan parti juga diminta menyediakan satu badan atau dana khusus secara konsisten bagi memastikan media sosial parti digerakkan secara agresif di semua peringkat.

Ujarnya, mereka memandang platform sosial itu sebagai ‘core bussiness’ parti keramat dalam ‘menyantuni’ golongan muda mengikut perubahan zaman selain, gerak kerja akar umbi.

“Kita boleh sediakan begitu banyak jentera yang hebat tetapi kita tidak mahu memikirkan sedikit pun kenapa tidak menjadikan media sosial sebagai satu ‘task force’ yang penting.

“Kita tidak boleh ketinggalan di media sosial, kita ‘reform’ (membuat pembaharuan) media sosial sedia ada, kita kena fokus dan segmentasi viraliti media sosial terus kepada kumpulan sasar bukan lagi secara rawak,” tambahnya.

Selain itu beliau berkata, gerak kerja juga perlu diteliti dan terus dipertingkatkan serta disesuaikan dengan keperluan semasa. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast