Antara gelagat perwakilan Puteri UMNO yang hadir ke Persidangan Pergerakan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Puteri UMNO menggesa supaya penubuhan akademi atau institut UMNO disegerakan bagi melahirkan pemimpin lebih dinamik agar mereka mahir konsep bernegara dan memahami sistem perjalanan kerajaan.

Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, parti  mesti dilihat sebagai ‘kilang’ yang boleh melahirkan barisan pemimpin namun pada masa sama konsep kepimpinan berasaskan akar umbi perlu dilakukan semakan semula.

Beliau berkata, UMNO juga memerlukan lebih ramai penyumbang idea baharu yang bernas daripada parti itu dan melihat kaedah hibrid bagi membolehkan lebih ramai golongan profesional dan pempengaruh alaf baru mewakili UMNO di Parlimen.

“Sebab itu kita perlu mengulangi akademi atau institut UMNO perlu ditubuhkan segera dan ini bukan idea baru. Sudah lama (penubuhan akademi itu) diperkatakan dan sudah ramai dipertanggungjawabkan namun, hingga kini belum berjalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri Umno sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Zahida lagi, masih ramai menganggap kepimpinan UMNO hanya datang secara semula jadi iaitu hasil daripada lonjakan sistem lama yang pasti menjadi lapuk dan tidak sesuai untuk masa akan datang.

Ujarnya, tanpa institusi berkenaan ramai dalam kalangan ahli parti itu yang sudah memimpin tetapi, masih kurang mahir mengenai konsep bernegara.

“Apatah lagi memahami bagaimana sistem kerajaan itu berjalan dan bagaimana ia harus ditadbir melalui tadbir urus yang telus. Kita tidak mahu dilihat gagal apabila berbahas dan berhujah di Parlimen atau forum besar negara.

“Kita tidak mahu hanya melahirkan pendokong yang mengharap habuan dari hubungan dalam parti sekiranya parti ini berkuasa.

“Tanpa institusi ini kita tidak dapat melahirkan pemimpin yang serius dalam memperkatakan tuntutan ekonomi, undang-undang, keselamatan, alam sekitar dan pelbagai isu kenegaraan yang semakin rumit dan perlu kepimpinan untuk menyelesaikannya,” tambahnya.

Zahida berkata, UMNO memerlukan pembaharuan dan menyifatkan Pergerakan Puteri adalah ejen pembaharuan parti itu.

Katanya, ketika ini adalah zaman real time yang mana semuanya telus dan sentiasa diperhatikan.

Jelasnya, setiap pemimpin mesti melakukan kaedah multitasking serta boleh merencanakan tetapi harus peka kepada desas termasuk di alam maya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast