Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad hadir pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 12 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Proses pemulihan UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu dilakukan mulai sekarang, kata Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad,

Beliau berkata, parti tidak boleh menangguhkan walau seminit pemulihan itu bagi memastikan kedua-duanya kembali bangkit.

Katanya, keputusan Pilihan Raya Umum (PRU15) wajar dijadikan iktibar untuk menilai kelemahan, memperbaiki dan merancang strategi lebih berkesan, seterusnya kembali bangkit bagi meraih kepercayaan rakyat untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di beberapa negeri kelak.

“Kita perlu bersatu hati dalam usaha membina negara bangsa yang lebih utuh dan mapan, bukannya bertelagah sesama kita.

“Hanya 3.4 juta orang sahaja mengundi BN pada PRU lalu. Oleh itu, kita perlu perbanyakkan lagi pendekatan bagi menyantuni golongan pengundi muda kerana mereka akan menjadi lebih separuh daripada komposisi pengundi keseluruhan pada PRU akan datang.

“Kita juga perlu mengambil langkah untuk memperbaiki imej parti supaya lebih diterima rakyat kerana politik khidmat sahaja tidak lagi boleh menjamin kemenangan kepada calon yang bertanding,” katanya dalam Ucapan Dasar Perhimpunan Agung Wanita UMNO Malaysia di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur  hari ini.

Dalam ucapan itu, Noraini mengingatkan jentera Wanita dengan kisah Perang Uhud, yang patut dijadikan pengajaran

Katanya, seampuh mana pun strategi yang diatur, kepatuhan dan kesetiaan kepada ketua di saat berperang sangat penting dan jentera hanya perlu satu nakhoda untuk melayarkan bahtera.

Justeru, kata Noraini, dalam konteks masa kini, demi perpaduan dan kestabilan parti, ahli perlu sentiasa patuh, taat dan setia kepada kepimpinan.

Ahli Parlimen Parit Sulong itu turut menyentuh kenyataan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung kekalahan UMNO dan BN pada PRU15 lalu.

Kata beliau, kekalahan itu berpunca daripada faktor luaran dan dalaman iaitu dari luar disebabkan permainan persepsi yang amat dahsyat serta didorong oleh sumber kewangan yang “Wallahi” tidak dijangka seperti yang diviralkan.

“Dari dalam pula, kita kalah akibat sebahagian daripada kita yang tidak pernah berhenti menembak kaki sendiri. Kekurangan ini menginsafkan kita bahawa Wanita memerlukan tekad untuk melangkah ke hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengemukakan lima pembaharuan penting yang mesti disegerakan pelaksanaannya.

Pertama, pembersihan dalaman parti harus dilakukan secara total tanpa kompromi.

Kedua, gerakan yang berstrategi harus diterapkan kepada Wanita dengan memberi didikan dan kefahaman politik yang matang, maka UMNO wajib segerakan penubuhan Akademi Kepimpinan Wanita.

Ketiga, penguasaan media sosial kita perlu lebih visible, effective dan prominent melalui penubuhan Unit Media Digital di setiap bahagian.

Keempat, Skuad Sayang perlu dilihat lebih jelas sebagai ejen penghubung kepada masyarakat dengan mewujudkan agenda kesukarelawanan.

Kelima, peranan dan gerak kerja Jalinan Rakyat (JR) diperkemas seiring dengan perkembangan teknologi dan budaya setempat dan semasa.

“Selain dari lima ini, untuk kita kembali bangkit dan pulih, kita perlu revamp pendekatan, gerak kerja dan pelan tindakan kita, untuk memastikan keberkesanan serta kesesuaiannya dengan perubahan zaman,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast