Perwakilan wanita yang hadir pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 12 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – UMNO lebih mudah ‘dibunuh’ Perikatan Nasional (PN) jika bersendirian dan tidak menyertai Kerajaan Perpaduan.

Lebih-lebih lagi selepas Barisan Nasional (BN) gagal memperoleh majoriti mudah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, kata pembahas Pergerakan Wanita UMNO Perak, Sabariah Zakaria.

Menurut beliau, tuntutan rakyat pada masa ini ke arah politik era baharu di mana parti-parti politik mesti bergabung untuk mencari kekuatan.

“Jika UMNO tinggal bersendirian, lebih mudah UMNO dibunuh PN yang penuh dendam. PN sahabat rapuh membunuh UMNO, kita yang tinggal seorang, patah sayap bertongkat paruh.

“UMNO menjunjung titah tuanku, agama dan bangsa jadi taruhan digalas juga beban yang berat pasrah bersama Kerajaan Perpaduan daripada mati dibunuh pengkhianat,” katanya.

DSC_4389-681x454
Sabariah Zakaria

Sabariah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Lumut berkata demikian ketika membahas usul pendidikan ucapan Dasar Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur di sini hari ini.

Tambahnya, dalam mendepani enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan pada tahun ini, UMNO perlu memuktamadkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), selaras dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Sabariah berkata, Wanita UMNO menjadi jentera Jalinan Rakyat (JR) dengan memberikan sumbang saran kepada pemimpin UMNO dalam pengagihan kawasan di antara parti-parti gabungan PH serta logo yang bakal digunakan pada PRN akan datang.

“Kalau nak pakai satu logo saja, pakailah logo Barisan Nasional (BN). Kerana itu logo yang paling universal dan versatile yang mewakili semua kaum di Malaysia.

“Kalau perlu pakai logo masing-masing, silakan tapi dengan perjanjian bahawa pada akhirnya kita bergabung bersama satu pakatan,” jelasnya.

Katanya lagi, sebelum bermula gerak kerja menuju PRN itu, akar umbi BN dan PH perlu duduk semeja untuk mencari keserasian sebelum penyokong parti masing-masing boleh memberi undi kepada satu sama lain.

“Orang DAP pernah undi Pas, cuma akan ada orang Melayu yang takkan tergamak undi parti DAP. Maka kita kena adakan ramah mesra di antara UMNO, DAP, PKR dan Amanah pada peringkat akar umbi. Selepas semuanya stabil, barulah kita bergerak untuk PRN,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast